MACHANG BUBOK – Pembinaan Kolam Takungan Banjir di Alma diharap dapat mengurangkan impak banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan, kata Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari.
Selain itu katanya, projek tersebut juga diharap dapat mengurangkan risiko dan kekerapan banjir di kawasan hulu lembangan Sungai Junjung Mati melibatkan Taman Saujana Indah, Taman Impian, Taman Impian Ria dan kawasan sekitar.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan semua perancangan dan pelaksanaan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di negeri ini adalah mengikut jadual dalam meningkatkan daya tahan terhadap bencana.
“Projek RTB Membina Kolam Takungan Banjir di Alma dalam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merupakan salah satu Projek Berimpak Tinggi oleh Kerajaan Negeri susulan kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun 2017.
“Untuk makluman, (Kerajaan Negeri) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM7,348,039 bagi menyempurnakan pelaksanaan projek tersebut,” ujarnya semasa merasmikan majlis berkaitan pada 17 November 2023 dekat sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon serta wakil-wakil jurutera JPS, ketua-ketua jabatan serta pasukan perunding dan kontraktor.
Tambah Zairil, projek tersebut telah dilaksanakan pada tahap pelindungan banjir ‘50 Average Recurrence Interval’ (ARI) dan dijangka mampu mengatasi beberapa aspek risiko banjir.
“Sebagai makluman, 50 ARI berupaya mengurangkan keluasan banjir, jumlah mangsa banjir, aras kedalaman banjir serta risiko kerosakan harta benda dan kemudahan awam.
“Keluasan kawasan kolam takungan banjir ini adalah 20,083 meter persegi (isipadu: 88,969 meter persegi) dan telah direka bentuk sebagai kolam takungan banjir yang mampu mengurangkan aras banjir di hilir sungai ke tahap yang minimum,” ujarnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.
Terdahulu, JPS Pulau Pinang turut menerima peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan luar jangka yang bakal memanfaatkan seramai 5,600 penduduk negeri ini.
Difahamkan, sebanyak 58 kerja kecemasan luar jangka dilaksanakan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 29 kerja kini sedang dalam pelaksanaan.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT