Projek RTB Parit 4 dan 5 dijangka siap Mac 2020 – Exco

GEORGE TOWN – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa projek tebatan banjir (RTB) Parit 4 dan Parit 5 dekat Seberang Perai Tengah (SPT) kini sedang dalam pelaksanaan.

Katanya, kedua-dua projek berkenaan dijangka siap pada Mac 2020 sekaligus dapat mengurangkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan terlibat.

“Setelah projek-projek ini siap sepenuhnya, banjir kilat di kawasan Kampung Kebun Nenas, Kampung Dock, Kampung Tersusun, Taman Sentul Jaya dan Kampung Tok Keramat dapat dikurangkan.

“Selain itu, kejadian banjir di Kampung Tok Kangar, Taman Mangga, Kampung Jawa dan Kampung Kebun Sireh juga dapat dikurangkan magnitudnya,” responsnya semasa Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang pagi ini.

Zairil yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberi respons terhadap soalan dikemukakan ADUN Bukit Tengah Gooi Hsiao-Leung.

Pada 31 Oktober lalu, Timbalan Pengarah (Infrastruktur) Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Syukri Said dalam satu sidang media memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf saliran di Parit 4 telah siap 45 peratus melibatkan pendalaman parit bagi menampung lebih banyak kapasiti air.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD