Projek RTB Parit Empat & Jalan Tembikai bantu kurangkan masalah banjir – Exco

PADANG LALANG – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Parit Empat dekat Bukit Mertajam yang menelan kos sebanyak RM17 juta kini 80 peratus siap melibatkan pembinaan tiga buah rumah pam berkapasiti 13.2 meter padu sesaat (m3/s).

Menurut Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari, selain pembinaan rumah pam, projek ini turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf tembok yang telah siap 50 peratus.

“Secara keseluruhan status kemajuan fizikal hampir siap, cuma rumah pam dan substesen TNB (Tenaga National Berhad) ada kelewatan sedikit disebabkan beberapa isu di tapak, tetapi kini dah diselesaikan.

“Cuma di substesen TNB kena buat penyambungan, pembinaan dan dalam masa tiga bulan rumah pam boleh siap… bila tiba musim hujan, jika TNB tidak boleh siapkan lagi kita boleh gunakan generator untuk mengoperasikan satu pam dulu.

“Kita menjangka keseluruhan projek ini akan siap tahun ini, walaupun sepatutnya siap bulan ini tetapi ada kelewatan disebabkan isu penguatkuasaan struktur haram, pengalihan utiliti dan reka bentuk semula rumah pam serta pindaan pelan susun atur,” ujarnya sejurus mengadakan lawatan kerja ke tapak projek RTB di Sungai Permatang Rawa pagi ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, merangkap Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim dan wakil-wakil jabatan berkaitan.

Dalam pada itu, Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga turut melawat ke Kolam Teratai Sungai Rambai bagi meninjau kawasan projek tebatan banjir Jalan Tembikai yang bakal dijalankan kelak.

Mengulas mengenai skop kerja, Zairil memberitahu ia melibatkan penaiktarafan longkang sepanjang 2km di kawasan perumahan berkaitan, menaik taraf ban serta kolam takungan sedia ada dan membina rumah pam berserta pemasangan dua unit ‘submersible pump’ yang berkapasiti 1m3/s.

“Projek ini akan dapat membantu mengurangkan magnitud kekerapan banjir kilat yang sering melanda penduduk di kawasan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairil turut mengumumkan mengenai RTB Sungai Permatang Rawa yang sedang mengalami kelewatan ekoran isu pengambilan 74 lot tanah.

“Projek ini merupakan projek Kerajaan Negeri selepas pasca banjir 2017 yang merupakan salah satu daripada lapan projek impak besar diumumkan ketika itu.

“Skop projek ini melibatkan jajaran sepanjang 4.2 kilometer (km), walau bagaimanapun kos pengambilan tanah yang agak mahal menyebabkan Kerajaan Negeri mengambil keputusan memecahkan projek tersebut kepada dua bahagian iaitu di bahagian hulu dekat Taman Guru, Mukim 9 Tanah Liat dan hilir dekat Taman Makok,” jelasnya.

Dijangkakan masalah berkenaan selesai dalam tempoh masa enam ke lapan bulan dari sekarang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD