BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri akan terus berusaha menambah baik rancangan tebatan banjir (RTB) sedia ada di sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan demi mengurangkan lagi risiko bencana banjir kilat pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan hampir RM1 juta bagi menaik taraf 500 kubik meter per saat kapasiti pam sedia ada di Taman Sentul Jaya yang mana pakej-pakej projek berkaitan dijangka siap pada pertengahan bulan Januari 2023.
“Semestinya penduduk akan fokus kepada masalah (banjir kilat yang dihadapi oleh mereka), dan bukannya tanggungjawab mereka untuk mencari penyelesaian.
“Kita (Kerajaan Negeri hari ini) dengar masalah, dan kita ‘dalam’ Kerajaan Persekutuan juga perlu mencari penyelesaian sepertimana kita lakukan sekarang.
“Kita (Kerajaan Negeri) perlu senantiasa mengemaskini (masalah yang dihadapi penduduk), apabila berlakunya (bencana banjir kilat umpamanya), kita akan melakukan kajian serta lihat di mana wujud masalah (dari segi) kelemahan projek yang dilaksanakan.
“Hasil daripada (kajian masalah tersebut), kita perlu penambahbaikan, mungkin pam sedia ada tidak cukup kapasiti, maka perlu tambah satu pam ataupun mungkin perlu ada satu pam boleh bergerak,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kepada Buletin Mutiara di perkarangan Rumah Pam Taman Sentul Jaya dekat sini pada 27 Disember 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat; Penolong Jurutera MBSP, Ahmad Akmal Abu Bakar dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai sidang media tersebut.
Sebelum itu, Kon Yeow turut mengadakan lawata ke Rumah Pam Taman Mangga serta mengadakan perbincangan dengan para pemegang taruh di sini berhubung isu kejadian banjir kilat yang acap kali berlaku sungguhpun selepas siap projek menaik taraf beberapa rumah pam serta projek Parit Lima di sini.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow pada pagi tadi turut mengadakan lawatan ringkas ke kawasan rekreasi Taman Bayu Mutiara.
Di sini, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MBKK) Bukit Tengah, Tan Gee Huat mencadangkan pentadbiran Kon Yeow menaik taraf taman rekreasi sedia ada menjadi gelanggang permainan kasut roda awam untuk manfaat penduduk lokal yang menghuni 200 unit kediaman jenis teres dan tiga blok rumah pangsa di sini.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut dibawa melawat Pusat Klinik Kebajikan Ang San King, yang mana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lepas pernah menawarkan perkhidmatan perundingan secara percuma pada setiap hari Jumaat mulai 8 malam hingga 10 malam.
“Kita berharap pentadbiran Kon Yeow dapat melihat aspek bantuan sewajarnya memandangkan klinik ini menyasarkan kembali beroperasi pada 10 Februari 2023,” jelas salah seorang penduduk lokal kepada Buletin Mutiara.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & LAW SUUN TING
Video : SIEW CHIA EN & LAW SUUN TING
—