DATUK KERAMAT – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menambah baik kemudahan asas di sini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sejak tahun 2008, isu bagi membendung masalah banjir di kawasan sekitar jajaran Sungai Pinang sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
“Malah isu-isu berkaitan pengambilan tanah dan penempatan semula penduduk juga telah selesai…kini setelah lantikan kontraktor ia (projek RTB Sungai Pinang) berada di peringkat reka bentuk.
“Kerajaan Negeri berharap projek (RTB Sungai Pinang) ini dapat dimulakan pada tahun 2020 nanti setelah ia ditangguhkan sejak siapnya Fasa 1,” ucapnya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dekat pekarangan Masjid Acheh Kebun Lama di sini lewat petang tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.
Turut serta, ahli-ahli Jawatankuasa Qaryah Masjid Acheh Kebun Lama dan ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kebun Lama selaku penganjur jamuan malam ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji keprihatinan ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dalam menuntut pihak berkaitan untuk menyegerakan pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang ini.
“Saya juga berharap bukan sahaja projek ini (RTB Sungai Pinang) dapat dilaksanakan dan disempurnakan tetapi juga projek-projek (pembangunan) lain dapat disempurnakan mengikut jadual.
“(Hal ini kerana), projek-projek pembangunan ini dilaksanakan demi keselesaan dan kesejahteraan semua rakyat di negeri ini pada masa hadapan,” katanya yang sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para pengunjung majlis jamuan di sini.
Sementara itu, Jagdeep yang turut berucap pada jamuan tersebut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kesudian meluangkan masa menghadiri jamuan hari raya yang diadakan tahun ini.
Difahamkan, terdapat 17 jenis hidangan disediakan untuk pengunjung antaranya kambing golek, putu piring, char kuetiau, mi goreng, laksa, rendang, lemang, ketupat, bihun sup, bihun Singapore, apom lenggang, ais kacang, nasi tomato dan lain-lain lagi.
Bagi kanak-kanak, sesi pemberian duit raya dan kuiz keagamaan yang menjadi tradisi setiap kali penganjuran majlis jamuan hari raya, saban tahun, adalah amat dinanti-nantikan.
Selain itu, para pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan pada penganjuran majlis berkenaan.
Kemuncaknya, percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang udara.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI