JAWI – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang melaksanakan fasa pertama projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Sanglang yang bernilai RM10,822,207.94 sejak 3 Oktober lepas dan dijangka siap pada Oktober tahun 2026.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pihaknya berharap projek tersebut dapat mengurangkan keluasan banjir kepada 1.4 hektar (Ha) dengan pengurangan kedalaman kawasan banjir kepada 0.5 peratus.
“Projek ini dilaksanakan kerana kapasiti sistem saliran yang tidak mampu menampung aliran permukaan dari kawasan hulu (yang mana) Kampung Sanglang terletak di kawasan terendah dan lebih cenderung mengalami banjir, walaupun dalam hujan berkapasiti 2 tahun ARI (jeda ulangan purata).
“Kebanyakan lokasi sepanjang sistem saliran di kawasan Sanglang mengalami kenaikan air banjir antara 0.3 meter (m) dan 0.6m (yang mana) keadaan menjadi lebih buruk apabila berlakunya kejadian air pasang.
“Dengan adanya kerja-kerja naik taraf rumah pam ini, saya percaya kita dapat membantu mengurangkan risiko banjir di sekitar kawasan Sanglang, Kampung Selesa dan juga Taman Jelapang,” jelasnya selepas melawat tapak pemajuan fasa 1 projek RTB Sungai Sanglang dekat rumah pam Pintu Kawalan Pasang Surut Nibong Tebal (Get B2) di sini pada 21 Oktober 2024.
Buletin Mutiara difahamkan, selain kerja-kerja tanah, komponen lain bagi fasa 1 projek RTB Sungai Sanglang adalah pembinaan ‘spun pile’ atau cerucuk 300 milimeter (mm) serta struktur ‘inlet’ di rumah pam; dan cerucuk 200 x 200 (RC pile) bertetulang di pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), penanaman struktur outlet (sheetpile); konkrik bertetulang; serta pembinaan rumah pam dengan dua unit pam skru (kapasiti 2,500 liter sesaat) dan dilengkapi sistem SCADA.
Dalam projek tersebut juga, kontraktor yang dilantik iaitu Altra Padu Sdn. Bhd. akan membina tembok penahan; jalan baharu dan penyelenggaraan jalan sedia ada; serta sistem perparitan jenis L-Shape 8m lebar X 4m tinggi dan ‘cast’ in-situ.
Selepas fasa 1 projek RTB Sungai Sanglang siap kelak, Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berharap JPS negeri dapat meneruskan fasa dua projek berkaitan yang melibatkan komponen menaik taraf pintu kawalan air pasang yang baru pada peringkat seterusnya.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS Negeri; Ahmad Kamil Jamaluddin bersama-sama wakil Atra Padu (kontraktor) dan Androit Consulting Engineering Sdn. Bhd. (perunding) turut sertai lawatan tapak bersama-sama Mooi Lye.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI