GEORGE TOWN – Sungguhpun Pulau Pinang rancak merancang pembangunan berskala besar seperti transit aliran ringan (LRT), lebuh raya, tambakan laut dan sebagainya, namun projek yang menyantuni rakyat adalah tidak dilupakan, maklum Ahli Parlimen Batu Kawan, Tuan Chow Kon Yeow.
Mengambil contoh Pasar Awam Chowrasta, menurut beliau merupakan projek menyantuni rakyat yang membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek pembangunan demi rakyat di negeri ini.
“Pasar Awam Chowrasta adalah contoh keprihatinan Kerajaan Negeri PH dalam membawa perubahan khusus khasnya membabitkan kemudahan pasar, kompleks makanan yang dinaik taraf yang mana ia dapat menawan hati peniaga-peniaga di sini serta pada masa sama, pengunjung dapat menyaksikan transformasi oleh Kerajaan (Negeri) sejak 2008 sehingga kini.
“Walaupun kita senantiasa memberi fokus kepada projek-projek infrastruktur yang besar, seperti untuk mendapat kelulusan tiga lebuh raya utama, LRT, pembesaran lapangan terbang, projek tambakan laut selatan Pulau Pinang, tebatan banjir, pelaksanaan 5G, namun, ini (projek menyantuni rakyat) adalah hasil pencapaian Kerajaan Negeri yang bekerja keras untuk rakyat.
“Kita akan teruskan apa yang kita capai dalam 15 tahun ini dan apa yang ingin dilakukan lima hingga 10 tahun akan datang di samping terus membawa pembangunan sosial ekonomi Pulau Pinang dengan tidak mengabaikan kemudahan-kemudahan di lapangan yang dapat menyantuni rakyat secara langsung,” ujarnya dalam sidang media pada sesi ramah mesra (walkbout) Dewan Undangan Negeri (DUN) Komtar di sini pagi tadi.
Hadir sama, calon tuan rumah N28 DUN Komtar, Teh Lai Heng dan calon N27 DUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.
Tambah Kon Yeow, melalui projek-projek berkaitan, rakyat dapat menikmati urus tadbir dan keprihatinan Kerajaan Negeri yang mana ia diterjemahkan melalui keyakinan kepada Kerajaan Negeri.
“Esok, kita akan melancarkan Manifesto Perpaduan dan sedaya upaya cuba melawat kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) bagi menyuntik semangat kepada calon yang bertanding.
“Inilah peluang keemasan untuk capai kemenangan melalui perpaduan, dan pada masa sama memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan itu sendiri,” ujarnya yang juga calon bagi DUN Padang Kota (N26).
Sementara itu, Lai Heng ketika menjawab soalan pemberita mengenai cadangan memaksimumkan penggunaan kawasan Pasar Awam Chowrasta sehingga waktu malam menyatakan bahawa segala perancangan akan diperhalusi selepas PRN.
“Memandangkan (Pasar Awam) Chowrasta ini diuruskan oleh pihak swasta, segala cadangan akan dikaji semula selepas PRN termasuk mewujudkan perniagaan kendara saji (food truck) pada waktu malam,’’ ulasnya.