EORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng memberitahu bahawa projek naik taraf longkang di Lebuh McNair / Lebuh Sandilands berhadapan pasar borong Lebuh Cecil dekat sini, merupakan projek serampang dua mata.
Jelasnya, projek bernilai RM153,955 sepanjang 150 meter (m) itu, melibatkan pembesaran longkang daripada kedalaman 300 milimeter (mm) kepada 600 mm dan laluan pejalan kaki.
Peruntukan projek tersebut adalah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Berkenaan kerja-kerja naik taraf sistem perparitan ini, seperti semua sedia maklum, ia bukan sahaja nak taraf parit tetapi juga tetapi laluan pejalan kaki.
“Kita mahu Pulau Pinang menjadi kawasan mesra pejalan kaki, tiada halangan dan jadi laluan selesa serta selamat.
“Untuk parit pula, sebelum ini ia bersaiz kecil dan ada yang sudah runtuh menjadikan longkang tersumbat berbau busuk, masalah tikus dan sebagainya, lepas naik taraf diharap akan menyelesaikan isu-isu ini,” ujar Yuee Harng ketika melakukan lawatan tapak di sini tengah hari tadi.
Hadir sama, Jurutera Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nasrul Nizam.
Antara komponen lain yang terlibat adalah pembinaan ‘box culvert’ bersaiz 600mm X 600mm; perabot jalan (‘kerb’ dan garisan jalan) serta pembinaan laluan pejalan kaki mengikut garis panduan MS 1184 dengan reka bentuk sejagat.
Projek fizikal yang sudah bermula sejak dua minggu lalu dijangka siap pada 14 April 2025.
Berkenaan perhentian bas, Yuee Harng memaklumkan ia akan dipasang semula selepas projek berkaitan siap sepenuhnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD