Projek taman atas air ‘Gurney Wharf’ dijangka siap Ogos 2021

GEORGE TOWN – Projek taman di atas air dikenali sebagai ‘Gurney Wharf’ yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri akan dimulakan pada pertengahan tahun depan dan dijangka siap pada Ogos 2021.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, projek tersebut akan dibina di atas kawasan tebus guna tanah yang merangkumi keluasan 131 ekar bersebelahan Persiaran Gurney.

“Kebenaran Merancang untuk menebus guna tanah telah diluluskan pada 7 Disember 2016 oleh semua pihak termasuk kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA).

“Seperti yang dipersetujui, penambakan tanah bagi ini akan dibiayai sepenuhnya oleh pemaju Tanjung Pinang Development (TPD) Sdn. Bhd..

“Setelah penambakan disiapkan, keseluruhan kawasan tambakan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri, manakala sebahagian kawasan tersebut akan dibangunkan projek ‘Gurney Wharf’,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit pada sesi perbahasan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini 15 November 2018.

Menurut Jagdeep, antara kemudahan awam yang akan dibina di kawasan projek berkenaan adalah ‘skate park’, kedai serbaneka, tandas awam (10 buah), taman permainan kanak-kanak, tempat letak kereta terbuka, kemudahan-kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan banyak lagi.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa 87.2 peratus daripada responden menyokong projek ini.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih lagi sedang berunding dengan pihak TPD mengenai konsep serta cadangan yang dikemukakan, dan ia akan dimuktamadkan selepas kos dan pilihan terbaik dipersetujui oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI