Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi, perkukuh daya tahan penduduk

Admin
zairil

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi yang meliputi kawasan seluas 261.25 km² di daerah Seberang Perai Selatan dijangka memberikan kesan positif yang signifikan dalam jangka panjang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khid Johari berkata, dengan pelaksanaan projek ini, ia bukan sahaja memperkukuhkan infrastruktur pengurusan air malah meningkatkan daya tahan dan kualiti hidup penduduk setempat.

Projek ini (juga) akan (mewujudkan) sistem saliran yang lebih cekap sekali gus mengurangkan kekerapan kejadian banjir serta melindungi lebih 6,000 penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.

“Maka, risiko gangguan terhadap aktiviti harian penduduk dapat diminimumkan selain menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, terutamanya dalam sektor pertanian dan perumahan,” ujarnya dalam suatu kenyataan media bertarikh 13 Mac 2025.

Menurut Zairil, bagi memastikan keberkesanan projek ini, beberapa struktur kritikal akan dibina dan dinaik taraf.

Ini termasuk pembinaan rumah pam, kolam tadahan, ‘Tidal Control Gate’ untuk mengawal aliran air laut ke dalam sungai, menaik taraf struktur sungai dan kerja-kerja pendalaman sungai.

“Antara kawasan yang mendapat manfaat langsung daripada projek ini termasuk Bandar Tasek Kesuma, Kampung Surau, Kampung Sethu, Taman Sungai Duri Permai, Kampung Jawi, Kampung Tanjung Rambutan, Taman Merak, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Sungai Duri, Taman Jawi Permai, Taman Jawi Jaya, Pekan Jawi, Jalan Changkat, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan dan Kampung Pa Maong.

“Projek ini telah dimulakan pada 8 Februari 2024 dengan fasa reka bentuk dan dijangka siap pelaksanaan fizikal di tapak dalam tempoh masa empat (4) tahun.

“Setakat 28 Februari 2025, projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 8.06 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zairil memaklumkan bahawa projek berkenaan adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan pengurusan bencana serta memastikan kesejahteraan rakyat.

“Diharapkan dengan pelaksanaan yang holistik dan menyeluruh, projek ini dapat memberikan perlindungan yang berkesan serta berpanjangan kepada komuniti yang terlibat,” katanya.

Difahamkan, sejumlah RM231,207,000 telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bagi menangani kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut sehingga mengancam keselamatan dan menyebabkan kerosakan harta benda serta infrastruktur awam dan tanaman di kawasan pertanian.

Lembangan Sungai Jawi merangkumi beberapa anak sungai utama, termasuk Sungai Tengah, Sungai Bakap, Sungai Duri, Sungai Badak Mati dan Sungai Baung yang mana 25 peratus daripada kawasan tadahan ini terletak di negeri Kedah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI