Projek Tebatan Banjir Sungai Kluang dijangka siap ikut jadual

BATU MAUNG – Projek Tebatan Banjir Sungai Kluang dijangka siap seperti dijadualkan oleh kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, projek bernilai RM20.2 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri tersebut dimulakan pada 5 Oktober 2018 dan dijadualkan siap 1 Jun 2021.

“Jika dilihat kepada kemajuan projek dan kerja-kerja di tapak yang telah mencapai kadar 71 peratus (pada 30 September 2020), saya percaya menjelang musim monsun tahun hadapan yang akan mula pada bulan Mei sehingga Julai, banjir di kawasan Bayan Baru akan dapat diatasi,” ujarnya pada sidang media sebelum mengadakan lawatan ke rumah pam Sungai Kluang yang kini dalam pembinaan di sini pagi tadi.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Sungai dan Pantai) JPS Pulau Pinang, Ooi Soon Lee dan Jurutera JPS Pulau Pinang bagi Daerah Barat Daya, Mohamed Rizal Salim.

Projek Tebatan Banjir Sungai Kluang kendalian JPS Pulau Pinang tersebut merangkumi pembinaan rumah pam dengan kapasiti 12m3/5, collector drain bersaiz 4.0×2.5m sepanjang 150m (meter), twin 1.5m pipe jacking di Jalan Tun Dr. Awang dan menaik taraf saliran dalaman sedia ada.

Penaiktarafan projek berkenaan bukan sahaja memanfaatkan penduduk sekitar kawasan Bayan Baru khususnya, tetapi juga kepada sektor perindustrian yang berpusat di kawasan tersebut.

Tze Tzin berkata, projek tersebut merupakan antara projek tebatan banjir paling besar yang dibiayai Kerajaan Negeri.

“Kawasan Bayan Baru merupakan kawasan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang berproduktiviti tinggi serta hab sektor perkilangan, maka penting untuk kita yakinkan pelabur.

“Justeru, menangani banjir ini adalah isu utama, bila pelabur percaya dan yakin, barulah pelaburan bertambah sekaligus dapat menyediakan peluang pekerjaan lebih banyak kepada rakyat,” ulas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ALISSALA THIAN