Projek tebatan banjir Taman Sejahtera bernilai RM2.56 juta jangka siap awal tahun depan

img 20241117 wa0037

MACHANG BUBUK – Pelaksanaan projek tebatan banjir dekat Taman Sejahtera di sini yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM2.56 juta dijangka siap pada awal tahun depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata projek tersebut yang dimulakan sejak 19 September tahun lepas adalah membabitkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan kolam tadahan bagi meminimumkan impak banjir kilat yang sering berlaku di Taman Sejahtera dan kawasan sekitarnya.

“Projek ini dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya percaya, dengan siapnya projek ini nanti akan membawa impak yang positif kepada kesejahteraan masyarakat sekali gus menjadikan Taman Sejahtera selamat dan berdaya huni,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali dan Pelancaran Gelanggang Futsal Taman Sejahtera di sini sebentar tadi.

img 20241117 wa0035img 20241117 wa0041img 20241117 wa0027

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan serta ahli-ahli jawatankuasa penganjur.

Kon Yeow menyatakan bahawa bagi meningkatkan lagi kesejahteraan penduduk di Taman Sejahtera, Kerajaan Negeri turut menaik taraf gelanggang futsal berbumbung dengan kos RM561,000 dan telah siap sepenuhnya pada 12 April lalu.

“Projek ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk, terutamanya golongan muda di kawasan ini.

“Gelanggang futsal ini bukan sahaja dapat menjadi tempat beriadah, malah turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti di sini.

“Justeru, di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada penduduk di sini untuk bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan dengan baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam pada itu, Khai Loon berkata semua projek dan program yang dilaksanakan di kawasan Machang Bubuk membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sedia ada kini sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Kami (Kerajaan Negeri) amat berterima kasih dan menghargai kesabaran penduduk di sini dalam mendepani kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan ini.

“Kita berharap agar semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan sekali gus dapat mengatasi masalah banjir kilat di kawasan ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING