Projek tebatan banjir, tangani hakisan pantai fokus JPS Negeri tahun ini

whatsapp image 2025 01 17 at 16.54.34

GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang akan memberikan tumpuan terhadap pelaksanaan beberapa projek tebatan banjir bagi menangani kejadian banjir kilat di negeri ini.

Pengarah JPS Negeri Pulau Pinang, Ooi Soon Lee berkata bahawa ketika ini, terdapat 30 projek tebatan banjir dan menangani hakisan pantai yang sedang dilaksanakan di negeri Pulau Pinang, termasuk dua projek utama iaitu di Sungai Pinang dan Sungai Jawi.

“Daripada 30 projek tebatan banjir dan menangani hakisan pantai yang sedang dilaksanakan, terdapat dua projek besar iaitu di Sungai Pinang dan Sungai Jawi yang mana kita harap kedua-dua projek ini akan dapat membantu mengurangkan impak banjir di kawasan berkaitan apabila siap kelak.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dalam pertemuan bersama-sama Ketua Menteri sebentar tadi yang mana beliau berharap agar semua projek yang dirancang ini dapat disiapkan mengikut jadual demi manfaat penduduk,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Selain tebatan banjir, Soon Lee memberitahu bahawa JPS Pulau Pinang juga akan memberikan tumpuan terhadap projek bagi menangani hakisan pantai yang turut berlaku di negeri Pulau Pinang.

“Sebenarnya, projek hakisan pantai di Batu Ferringhi telah mendapat kelulusan dalam Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RKMe-12).

“Satu lagi projek wishlist Kerajaan Negeri berkaitan hakisan pantai akan di dalam dimasukkan dalam RMKe-13, termasuk juga projek pemulihan Sungai Juru,” katanya sambil menzahirkan rasa gembira kerana dapat kembali berkhidmat di negeri Pulau Pinang.

Difahamkan, Soon Lee sebelum ini pernah berkhidmat di negeri Pulau Pinang selaku Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS sebelum bertukar ke Ibu Pejabat JPS di Cyberjaya selama dua tahun.

Terdahulu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah mengemukakan sebanyak 10 projek sebagai keutamaan dalam RP5 RMKe-12 sebagai sebahagian daripada Modul Wishlist Negeri Pulau Pinang dalam Sistem MyProjek.

Daripada 10 projek tersebut, dua projek telah ditolak, manakala lapan projek telah diterima untuk pertimbangan pihak Kementerian Ekonomi.

Lapan projek yang dimaksudkan adalah pembinaan jalan bawah untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, pembinaan klinik kesihatan jenis 2 di Bayan Lepas, projek pemuliharaan Sungai Juru, projek pembinaan outfall dan struktur mencegah hakisan pantai Batu Feringghi dan Tanjung Bungah serta pembinaan struktur mencegah hakisan tantai di Pengkalan Nelayan Paramount.

Selain itu, turut diterima adalah projek menaik taraf jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong di laluan Persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi dan projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN