Projek Terowong Dasar Laut di peringkat akhir kajian kebolehlaksanaan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa status terkini bagi Projek Terowong Dasar Laut adalah di peringkat akhir kajian kebolehlaksanaan.

 

Menurut beliau, laporan kajian tersebut telah dikemukakan oleh pihak Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC) kepada perunding teknikal Kerajaan Negeri, HSSI Sdn. Bhd. untuk semakan dan pengesahan.

 

“Ulasan ke atas draf laporan tersebut telah dipanjangkan kepada pihak CZC pada April 2019 lalu untuk pindaan sebelum dimuktamadkan dan dipersetujui oleh Kerajaan Negeri.

 

“Malah, sehingga kini, Kerajaan Negeri tidak melakukan sebarang bayaran kepada CZC bagi Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut.

 

“Pembayaran hanya akan dilaksanakan setelah laporan tersebut (Laporan Kajian Kebolehlaksanaan) disahkan oleh perunding teknikal dan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan,” jelas Kon Yeow sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah pada sesi lisan dekat Dewan Sri Pinang pagi ini.

 

Terdahulu Mohd. Yusni mempersoalkan sama ada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat projek tersebut.

 

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor turut mengambil bahagian menyoal dalam sesi soalan lisan tersebut.

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menjelaskan bahawa pihak SPRM telah melakukan siasatan terhadap projek berkaitan pada suku pertama tahun 2018.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan berlangsung.

 

“Siasatan SPRM diadakan selepas terdapat pihak tertentu yang meletakkan tuduhan terhadap penawaran tender projek berkenaan.

 

“Ada juga pihak lain yang dipercayai cuba mengambil kesempatan ke atas isu siasatan SPRM tersebut.

 

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah serta wujudnya salah laku berkaitan projek ini,” tegasnya.

 

Difahamkan, pelaksanaan Projek Terowong Dasar Laut selanjutnya akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kelak, walau bagaimanapun, buat masa ini, projek ini masih diteruskan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG