Projek Titian Saksama Rakyat – Peruntukan RM3juta

Admin

GEORGE TOWN – Bagi menambah pendapatan, wang simpanan, keperluan asas dan keupayaan mengumpul aset golongan peniaga kecil, ibu tunggal, golongan orang kelainan upaya (OKU) serta fakir miskin, buat julung kalinya, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memperuntukan RM3 juta di bawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang dilaksanakan pada awal tahun ini.

Tabung Pinjaman ini dijalankan mengikut model Micro-pinj (Micro-pinjaman) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan menekankan kepada konsep untuk memanfaatkan golongan keterbawahan.

PTSR merupakan satu projek yang dirancangkan di bawah Jawatankuasa MMK Pembangunan Keusahawanan Negeri Pulau Pinang.

Pinjaman di bawah PTSR adalah tanpa sebarang faedah dengan jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM5,000.00 dan tempoh bayaran balik adalah selama 2 tahun.

Pembahagian peruntukan pinjaman ini adalah seperti berikut:

a) RM1.25 juta kepada kumpulan peniaga-peniaga kecil;

b) RM1.25 juta kepada kumpulan miskin dan ibu tunggal;

c) RM0.25 juta kepada golongan yang cacat dan,

d) RM0.25 juta kepada masyarakat fakir miskin.

Dalam pada itu, seramai 40 orang penerima daripada kumpulan pertama telahpun menandatangan Perakuan Rakan Muafakat dan melafaz Ijab Qabul Pinjaman serta menerima cek pinjaman masing-masing.

Menurut Thanabakkiyam a/p Sinnasamy, 39, penjual nasi lemak dari Taman Chai Leng, Prai yang gagal mendapat pinjaman bank sebelum ini, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, PDC serta USM ekoran pelaksanaan PTSR yang memberi manfaat kepada peniaga kecil seperti beliau.

Harapannya adalah agar perniagaannya akan lebih maju dan terancang dengan bantuan kewangan diterima.

Lanjutan itu, Rohayu Mohamad Salleh, 31, pengusaha produk kecantikan serta aksesori wanita dari Permatang Pauh, Seberang Prai komited untuk memanfaatkan pinjaman tanpa faedah ini dengan sebaik mungkin. ntara rancangan beliau adalah untuk menambah stok, serta menyertai ekspo perniagaan bagi meneroka pasaran baru produknya.

Pada masa sama, Soh Chun Kek, 45, peruncit alatulis dari Bukit Mertajam mengetahui mengenai PTSR melalui rakannya.

Ekoran pakej menarik yang ditawarkan, buat pertama kalinya saya memohon skim pinjaman daripada pihak ketiga selain ahli keluarga sendiri. Dengan ini, saya berharap pinjaman yang diperoleh dapat membantu aliran tunai perniagaan saya,’’ jelas Chun Kek.

Bagi mereka yang berminat, sila hubungi Bahagian Pembangunan Usahawan, Aras 3, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Bandar Bayan Baru, 11909 Pulau Pinang di talian: 04-6340182, 04-6340183, 04-6340151.