Projek ubah suai Wisma YMSC babit RM100,000 peruntukan Kerajaan Negeri siap

KETUA Menteri (berbaju putih) diiringi Monuwer Sadiq (depan, dua dari kiri) dan para pemimpin lain semasa acara pemotongan riben projek siap ubah suai struktur bangunan Wisma Young Muslim Sport Club (YMSC) dekat Lebih King di sini pada 10 Februari 2023.

GEORGE TOWN – Selepas mengambil masa selama empat bulan, kerja-kerja pengubahsuaian struktur bangunan tiga tingkat Wisma Young Muslim Sport Club (YMSC) dekat Lebuh King membabitkan sumbangan RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang akhirnya siap pada bulan Januari lalu.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap segala kemudahan dan fasiliti yang siap diubahsuai dengan jumlah perbelanjaan berjumlah RM160,000 itu dapat dimanfaatkan untuk program-program pemerkasaan komuniti lokal terutama sepanjang bulan Ramadan yang kian kunjung tiba.

“Saya pasti dengan siapnya bangunan baharu ini, ia mampu memberikan suntikan baharu kepada YMSC untuk lebih produktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan yang telah dilaksanakan kepada komuniti di negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di sini pada 10 Februari 2023.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut berharap sekalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lokal termasuk YMSC dapat terus bersama-sama Kerajaan Negeri hari ini dalam merealisasikan Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sebelum itu, Presiden YMSC, Munower Sadiq dalam ucapannya menyifatkan pentadbiran Kon Yeow berjaya menyemarakkan semangat muafakat dan perasaan harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk terutama di ‘segi tiga emas’ Little India serta sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi Si Zen dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Kamarudin Abdullah merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut menyertai majlis keraian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT