Promosi cukai taksiran tamat 28 Februari, MBSP seru pemilik premis rebut peluang keemasan

Admin

SEBERANG JAYA – Promosi bagi “Jom Bayar Cukai Taksiran MBSP 2023 dan Menang” yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mulai 1 Disember 2022 akan tamat pada 28 Februari ini.

Justeru, Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad menyeru semua pemilik premis supaya merebut peluang keemasan tersebut untuk berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah bernilai sehingga RM8,888.

“Promosi ini diadakan khas kepada seluruh pemilik premis di Seberang Perai yang membuat pembayaran cukai taksiran setahun bagi tahun 2023 berserta tunggakan (jika ada) secara dalam talian, melalui aplikasi ASPIRE Seberang Perai, kioks atau agensi yang dilantik oleh MBSP.

“Sebanyak 40 hadiah cabutan bertuah yang lumayan disediakan seperti wang tunai bermula dari RM2,000 hingga RM8,888 serta pelbagai hadiah menarik yang lain.

“Maklumat lanjut berkaitan promosi serta terma dan syarat, sila layari laman web https://www.mbsp.gov.my atau hubungi talian 04-549 7470/471/696/697 atau e-mel di [email protected],” katanya ketika mempenyerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dekat Menara Bandaraya Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Azhar berkata bahawa mulai 1 Mac 2023, caj Notis E sebanyak RM10 akan dikenakan ke atas akaun pembayar cukai yang masih gagal menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh yang ditetapkan.

“Oleh itu, diharapkan pembayar yang belum menjelaskan cukai taksiran diminta menjelaskan bayaran dengan kadar segera.

“Semakan dan pembayaran boleh dibuat semua kaunter bayaran MBSP di Menara Bandaraya Bandar Perda, Cawangan Kampung Jawa, Butterworth dan Cawangan Jawi,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD