SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengadakan promosi cabutan bertuah khas kepada pemilik premis yang melakukan pembayaran cukai taksiran bagi tahun 2023 melalui aplikasi Aspire Seberang Perai.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata promosi tersebut berlangsung seiring dengan promosi yang dilancarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.
“Syarat penyertaan adalah pembayaran cukai taksiran setahun 2023 hendaklah dijelaskan sepenuhnya berserta tunggakan jika ada dan bayaran dibuat hanya melalui aplikasi Aspire Seberang Perai.
“Selain itu, pembayaran juga perlu dibuat secara sepenuhnya dalam bulan yang sama iaitu si antara 1 Disember 2022 hingga 28 Februari 2023,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.
Azhar berkata, antara hadiah menarik yang ditawarkan untuk pemenang cabutan bertuah bulanan adalah berupa telefon pintar Samsung Galaxy A03 yang akan diberikan kepada lima pemenang pada setiap bulan.
“Proses cabutan bertuah untuk hadiah bulanan ditentukan pada awal bulan Januari, Februari dan Mac 2023 dan pemenang akan dihubungi oleh MBSP untuk urusan tuntutan hadiah.
“Bagi cabutan bertuah hadiah bonanza pula, semua akaun cukai taksiran yang layak mulai 1 Disember 2022 hingga 28 Februari 2023 akan dikumpul dan majlis cabutan nama pemenang akan ditentukan bersama-sama promosi cukai taksiran anjuran MBSP pada Mac 2023.
“Hadiah cabutan bonanza adalah berupa sebuah motosikal WMoto WM110,” katanya sambil menambah bahawa pemenang-pemenang yang berjaya akan ditentukan berdasarkan nombor akaun cukai taksiran yang dibayar dan bukannya berdasarkan nombor telefon atau pengguna Aspire Seberang Perai yang mem buat bayaran.
Dalam isu berkaitan, Azhar berkata pengguna Aspire Seberang Perai boleh menebus mata ganjaran yang dikumpul melalui transaksi pembayaran yang dibuat menggunakan aplikasi tersebut mulai 18 Januari 2023.
“Pengguna yang telah mengumpul minimum 2,500 mata ganjaran berpeluang menebus baucar tambah nilai Touch and Go eWallet bernilai RM5.
“Selepas itu, pengguna akan menerima notifikasi berkaitan penebusan mata ganjaran ini dan butiran terperinci akan dipaparkan pada menu Ganjaran (Reward) pada aplikasi Aspire Seberang Perai,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat penyertaan, sila layari lama sesawang http://www.mbsp.gov.my / https://aspire.mbsp.gov.my atau e-mel di [email protected].
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD