Proses kelulusan PSR ambil masa dua hari, Kon Yeow sangkal dakwaan penyelidik

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyangkal laporan berita mengenai seorang penyelidik yang mendakwa proses kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Penambakan Laut Di Perairan Selatan Pulau Pulau Pinang (PSR) hanya mengambil masa dua hari.

Tegasnya, Kerajaan Negeri dan rakan pelaksana projek (PDP) telah mengambil masa kira-kira dua tahun untuk kerja-kerja perbentangan serta pengemaskinian laporan EIA demi memenuhi syarat-syarat digariskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam tempoh kira-kira dua tahun tersebut juga, menurut Kon Yeow, pentadbirannya mengadakan beberapa sesi perbincangan untuk mendapatkan pertimbangan kelulusan bagi Laporan Penilaian Impak Perikanan dan Laporan Impak Sosial serta nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

“Kalau rakan-rakan media mengikuti sidang akhbar saya sepanjang kira-kira dua tahun ini, tahu bahawa proses kelulusan ini bukan diperoleh dalam dua hari sahaja,” responsnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di Komtar 18 September 2019.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa cadangan bentuk pampasan kepada pihak-pihak yang terjejas dek projek PSR akan dimuktamadkan selepas 2 Oktober ini.

“Kita sudah ada beberapa pakej yang telah dibincangkan, tapi masih belum waktunya lagi sekarang.

“Selepas 2 Oktober (2019) nanti iaitu selepas Mesyuarat Exco (Kerajaan Negeri), untuk mendapat mandat di peringkat Kerajaan Negeri bagi membawa cadangan itu kepada nelayan yang terlibat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan.

Afif memberitahu bahawa dalam pakej cadangan yang disediakan tersebut, terdapat beberapa komponen penting dibincangkan meliputi soal ex-gratia dan program peningkatan kemahiran kelompok nelayan, perumahan serta tempat baru untuk nelayan.

“Projek ini, jika dimulakan nanti, kerja-kerja penambakan laut sahaja akan mengambil masa lebih lima tahun.

“Maka, kami (Kerajaan Negeri) juga telah mengambil kira tempoh masa kerja-kerja penambakan yang akan mengambil masa lima tahun hingga 10 tahun hadapan (iaitu dengan menjangkakan) apa yang akan berlaku pada komuniti nelayan dan penduduk setempat di situ,” jelasnya.

Terdahulu, Afif pada 29 Julai 2019 mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Nelayan bagi membincangkan pelan mitigasi bagi PSR serta bentuk-bentuk tawaran kepada para nelayan serta pihak yang menerima impak berantai dalam projek itu kelak.

Ketika itu, Afif menyatakan bahawa hasil mesyuarat jawatankuasa bertindak tersebut akan dimaklumkan kepada media sejurus beliau pulang daripada mengerjakan ibadah haji di Makkah Al-Mukarramah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI