PADANG KOTA – Tugu gangsa Francis Light yang dipercayai telah dilaku musnah kini dalam proses konservasi semula oleh Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP).
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin, walaupun tugu tersebut milik Perbadanan Ketua Menteri (CMI), namun pihaknya telah mengarahkan LMNPP untuk menguruskan proses konservasi tersebut.
“Antara tindakan yang diambil oleh LMNPP adalah seperti membersihkan kawasan tugu, mendapatkan pandangan pakar Unit Konservasi Muzium Malaysia berhubung kaedah sesuai perlu diguna pakai serta memasang scaffolding bagi memudahkan kerja-kerja konservasi dilakukan.
“Kerja-kerja ini akan dikendalikan oleh LMNPP selama enam bulan mulai 26 Oktober 2020 sehingga 30 April 2021.
“Ingin saya tegaskan di sini, walaupun anda seorang anti kolonial, atau pro kolonial, tugu ini adalah sebahagian daripada sejarah yang tidak patut dilaku musnah sedemikian rupa,” tegas beliau pada sidang media dekat Kota Cornwallis sebentar tadi.
Hadir sama, Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad dan wakil CMI.
Bercakap kepada pemberita, Haryany percaya laku musnah tersebut yang dikesan dilakukan pada 30 Jun lalu adalah berikutan pelaku percaya kepada fahaman tertentu.
Ini ekoran laku musnah menggunakan cat merah turut dikesan berlaku pada batu sempadan antara Pulau Pinang dan Kedah yang juga merupakan tinggalan British.
“Sekarang kerja-kerja menanggalkan kesan cat merah sedang dilakukan menggunakan bahan kimia aseton sebelum menyalut semula permukaan gangsa tersebut dengan material asal bagi menjaga keaslian tugu tersebut,” ulas beliau.
“Difahamkan, tugu Francis Light berkenaan telah ditempah khas oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (ketika itu) dan diletakkan di kawasan Kota Cornwallis pada tahun 1938.
Patung tersebut diukir oleh F.J Wilcoxsan dan Thomas Dutton di Burton’s Foundry pada tahun 1936 berdasarkan wajah anak sulung Francis Light, Kolonel William Wright berikutan tiada rupa sebenar.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN