Proses muktamadkan EIA PSR dalam mesyuarat teknikal jangka Mac ini, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkaitan di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Di Putrajaya semalam, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya ada meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk satu pembentangan berhubung dengan permohonan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi pelaksanaan projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR).

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pihaknya turut menunggu mesyuarat teknikal berkaitan memuktamadkan keputusan berhubung permohonan kelulusan EIA bagi PSI yang dijangka pada bulan Mac Ini.

“Proses (pemohonan kelulusan EIA dengan syarat-syarat tertentu) ini memasuki peringkat akhir untuk pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat keputusan.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang) menunggu mesyuarat teknikal yang akan berlangsung untuk memuktamadkan keputusan…dijangka bulan Mac (2023),” jelasnya dalam sidang media berkaitan selepas menyampaikan cek replika RM2.39 juta peruntukan bantuan khas tahunan kepada sekolah-sekolah Tamil, tadika sekolah Tamil dan sekolah Punjabi di Komtar dekat sini pada 9 Februari 2023.

BARISAN pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang merakamkan gambar dengan wakil-wakil sekolah selepas Majlis Penyampaian Cek Replika Peruntukan Sumbangan Bantuan Khas Tahunan Kepada Sekolah-Sekolah Tamil, Tadika Sekolah Tamil, Sekolah Punjabi san Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil, di Auditorium A Komtar pada 9 Februari 2023.

Sebagaimana pendirian sebelum ini, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya akan terus berusaha memenuhi semua syarat yang digariskan peringkat mesyuarat teknikal bagi mendapatkan kelulusan EIA PSI .

“Kita sudah menyatakan pendirian (bahawa) sekali tidak ada kelulusan (EIA), tidak boleh melaksanakan (kerja-kerja tanah PSI) dan proses (mendapatkan kelulusan) ini pun mengambil masa begitu lama.

“Selagi agensi teknikal ada syarat untuk dikenakan, kita akan berusaha menunaikan syarat-syarat itu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut diminta mengulas mengenai perkembangan semasa kes positif Demam Babi Afrika (ASF) peringkat ladang-ladang ternakan berkaitan sekitar negeri Pulau Pinang.

“Saya ada berbincang dengan Pengarah (Veterinar Negeri Pulau Pinang) semalam, beliau akan bawa isu-isu ASF ke peringkat Pusat untuk tindakan selanjutnya,” ulasnya sambil memberitahu bahawa beliau akan memaklumkan mengenai rekod positif ASF terbaru selepas mendapatkan maklumat rasmi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri kelak.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memberitahu bahawa pihaknya setakat ini belum mengadakan pertemuan rasmi dengan pemimpin Barisan Nasional negeri bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), dijangka dalam bulan Jun ini.

“Umno (Pulau Pinang) pun sahkan masih belum (ada pertemuan rasmi dengan pemimpin PH Pulau Pinang).

“(Pertemuan dan perbincangan) secara rasmi memang tidak ada memandangkan belum ada keputusan daripada (pemimpin Pakatan Harapan peringkat) Pusat lagi,” responsnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI