Proses temuduga demi kemas kini profil calon – Kon Yeow

Admin
CHOW Kon Yeow

GEORGE TOWN – Iltizam politik Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri termasuk Pulau Pinang bakal mengakibatkan ada calon akan hilang deposit serta saingan lebih daripada dua penjuru, sebagaimana yang terjadi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bulan November tahun lepas.

Ketua Menteri ‘Caretaker’ Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 26 Jun lepas.

“Kalau bertanding banyak penjuru, kemungkinan calon hilang deposit adalah lebih tinggi.

“Jadi, sebagai calon (pilihan raya), kita lebih ‘prefer’ pertandingan ‘satu lawan satu’,” responsnya sebentar tadi di sini sambil menyatakan bahawa sebarang kerjasama dalam parti gabungan adalah lebih sesuai ditangani pada peringkat Pusat.

Dua hari lepas, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menjelaskan bahawa Muda berhasrat untuk bertanding solo dalam PRN kerana beranggapan dua blok politik sedia ada iaitu Pakatan Harapan ‘Campur’ Barisan Nasional dan Perikatan Nasional adalah tidak mencukupi.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa mulai hari ini, pihaknya akan memulakan proses temuduga semua penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kalangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai salah satu persediaan dalam menghadapi PRN nanti.

“Kita akan mengemas kini profil calon dalam kalangan penyandang (kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN) terlebih dahulu bagi memahami pendirian dan harapan mereka serta pendapat mereka berhubung PRN yang kian kunjung tiba.

“Kita sudah melakukan (sesi temuduga calon) beberapa bulan dahulu dan mengambil kesempatan untuk mengemas kini pandangan semua yang dijemput,” ujarnya yang juga bekas penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa beliau sendiri tidak tahu sama ada penyandang DUN tertentu akan melepaskan kerusi mereka atau sebaliknya, sehinggalah proses pengemaskinian profil calon DAP selesai pada peringkat negeri.

Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu lagi, sehingga kini masih belum mencapai matlamat TWOAS atau Kerusi Tambahan Untuk Wanita bagi memastikan minimum 30 peratus perwakilan wanita di peringkat DUN sepenuhnya.

Pada (PRN Pulau Pinang) kali ini, dasar (TWOAS) akan dikekalkan dan sama ada kita (PH) dapat mengisi kuota itu dan sebagainya adalah memerlukan pertimbangan selanjutnya,” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut memberi respons terhadap soalan yang diajukan berhubung calon DAP yang dibenarkan bertanding dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Parlimen secara sekali gus.

“Memang tidak ada dasar tetap berhubung perkara ini (yang mana) di negeri-negeri tertentu memang ada calon DAP bertanding dua kerusi.

“Ini, tertakluk kepada keadaan setiap negeri (manakala) jawatankuasa negeri boleh membuat syor dan cadangan,” responsnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN