Provokasi: P. Pinang desak Menteri KDN, PDRM tingkat keselamatan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MANSOR Othman (dua dari kiri) sambil ditemani Chow Kon Yeow (kiri sekali), Abdul Malik Abul Kassim (dua dari kanan) dan Sim Tze Tzin (kanan sekali) menunjukkan gambar ‘bangkai ayam berdarah’ yang diletakkan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
MANSOR Othman (dua dari kiri) sambil ditemani Chow Kon Yeow (kiri sekali), Abdul Malik Abul Kassim (dua dari kanan) dan Sim Tze Tzin (kanan sekali) menunjukkan gambar ‘bangkai ayam berdarah’ yang diletakkan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didesak memberi jaminan keselamatan ke atas Y.A.B Tuan Lim Guan Eng gara-gara Ketua Menteri Pulau Pinang itu menerima ancaman sekumpulan pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Himpunan Hijau 2.0 anti Lynas di Sudut Pidato Padang Kota Lama, di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, desakan tersebut adalah hasil daripada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak Polis diRaja Malaysia (PDRM) supaya memberi jaminan keselamatan serta perlindungan kepada dua wartawan akhbar harian Kwong Wah Jit Poh yang turut menerima serangan dalam insiden yang sama.

Wartawan-wartawan terbabit, Adam Chew atau Chew Seng Tung, 29, menerima lapan jahitan di bahagian lengan manakala kepala Lee Hong Chun, 25, menerima hentakan topi keledar.

Disebabkan itu, beliau menolak dakwaan pembangkang kononnya provokasi itu dicetuskan oleh Guan Eng
sendiri.

“Perusuh-perusuh telahpun memukul orang (awam) sebelum Y.A.B Ketua Menteri sampai,” ujarnya pada satu sidang media di Komtar, di sini.

Himpunan Hijau 2.0 dicetuskan serta dianjurkan di seluruh negara sebagai protes pada langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membenarkan operasi kilang nadir bumi Lynas
di Kuantan, Pahang. Perhimpunan aman 1,000 rakyat anti Lynas tersebut adalah anjuran NGO, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Pulau Pinang.

B A N G K A I a y a m y a n g diletakkan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh.
BANGKAI ayam yang diletakkan di Pusat Khidmat
Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengerusi Lalulintas, Chow Kon Yeow, Abdul Malik Kassim (Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak).

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari kemudian turut menerima ‘bangkai ayam berdarah’.

Ekoran kejadian tersebut, satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Bandar Perda Seberang Perai Tengah (SPT) pada hari kejadian.