PRU ketika musim banjir tidak sesuai, jejas keselamatan nyawa rakyat – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika musim monsun adalah tidak sesuai dan boleh menjejaskan bukan sahaja keselamatan tetapi juga nyawa rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihak yang ingin mengadakan pilihan raya ketika musim monsun (Timur Laut) melanda seolah-olah tidak memikirkan impak yang terpaksa ditempuh oleh banyak pihak.

Mungkin mereka yang inginkan pilihan raya diadakan ketika musim monsun ini tidak mengambil kira aspek logistik dan keselamatan rakyat yang keluar mengundi.

“Malah, keadaan tersebut juga akan menyebabkan peratusan yang keluar mengundi rendah, bukan kerana mereka (pengundi layak) tidak mahu pergi tetapi tidak dapat pergi mengundi kerana banjir.

“(Dan) kertas undi juga mungkin tidak dapat dibawa kerana banjir, jadi adakah ia memberi makna pilihan raya jika pengundi terpaksa berdepan dengan situasi membahayakan,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita pada sidang media di Komtar pada 20 September 2022.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menegaskan bahawa sekiranya PRU-15 masih mahu diadakan ketika musim monsun seluruh proses pilihan raya akan terjejas.

Bagaimana kita mahu mengekalkan negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen jika pilihan raya umum diadakan semasa musim monsun.

“Bagaimana sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian atau sehari sebelum hari pengundian?

“Bagaimana rakyat Malaysia mahu melaksanakan hak mereka untuk mengundi, apabila mereka terpaksa menempuh situasi antara hidup dan mati jika banjir melanda sama ada di rumah atau di tempat pengundi.

“Saya rasa banyak pihak telah bersuara dan tidak bersetuju dengan keputusan untuk mengadakan PRU-15 ketika musim monsun melanda negara.

“(Dan) kita lihat apakah keputusan mereka setelah ramai pihak yang mula menyuarakan untuk tidak mengadakan pilihan raya ketika musim monsun,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Ketika ditanya sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pembubaran Parlimen dilakukan dalam waktu terdekat ini, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa pihaknya berkemungkinan tidak akan ikut langkah pada peringkat Persekutuan itu.

Sekiranya musim monsun mungkin kita (Kerajaan Negeri) tidak akan membubarkan DUN kerana ia amat berisiko tinggi.

“Sebelum ini, (pada Februari 2022) kita pernah mengumumkan bahawa kita tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU mengejut diadakan.

“Namun sekiranya pembubaran Parlimen diadakan ketika hampir tempoh matang maka kita akan ikut.

“Tetapi kini keadaan berbeza apabila Barisan Nasional (BN) inginkan pembubaran walaupun ketika musim monsun dan banyak pihak yang telah mengkritik keputusan tersebut.

“(Dan) pastinya tidak sesuai untuk mengadakan kempen pilihan raya ataupun pilihan raya (hari mengundi) juga,” tegasnya lagi.

Sebagai rekod, monsun Timur Laut berlaku pada bulan November sehingga Mac yang membawa hujan lebat terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak serta merupakan musim hujan utama di Malaysia.