PSC jana minat berinovasi, beri impak perkembangan STEM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Penubuhan Penang Science Cluster (PSC) lapan tahun lalu hasil inisiatif bersama Kerajaan Negeri dan pemain industri mula menunjukkan impak besar terutamanya dalam perkembangan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik atau STEM di Pulau Pinang kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, keputusan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti sains dan teknologi merupakan keputusan tepat apabila PSC kini bukan sahaja berjaya memberi impak positif dalam bidang STEM, malah turut menjana minat untuk berinovasi.

Menurut beliau, mulanya ramai yang tidak yakin, namun kesungguhan dan kepercayaan yang diberikan oleh pemain industri telah berjaya melonjak nama PSC.

“Sebagai contoh, syarikat perindustrian Keysight Technologies (Keysight) yang sudi menaja lima sekolah terpilih untuk mempelajari bidang Teleskop Radio di sini.

“Saya berharap lebih banyak syarikat swasta lain tampil untuk menaja program seumpama ini dan bertindak sebagai projek Private-Public-Partnership dalam menyediakan tenaga mahir untuk masa hadapan,” ucapnya pada TechMentor Radio Telescope Launching Program dekat Wisma Yeap Chor Ee di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Keysight telah menyumbang sebanyak RM25,000 bagi menjayakan program tersebut dengan penglibatan tenaga-tenaga pakar dalam bidang berkaitan.

Seramai 40 pelajar terpilih daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee, SJKC Chung Ling, SJKC Phor Tay, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free dan SMK St. Xavier terlibat dalam program tersebut.

Secara ringkasnya, wakil Keysight menyatakan bahawa program berkaitan adalah yang pertama di Malaysia dengan melibatkan pelajar sekolah, dan teknologi teleskop radio berkaitan berfungsi bagi mendapatkan data di ruang atmosfera bumi yang digunakan dalam ramalan kaji cuaca.