PSDC contoh ‘konkrit’ latihan tenaga buruh mahir babit B40, respons Ramasamy

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy menjelaskan bahawa program latihan industri melalui kerjasama antara Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan penggerak industri merupakan antara contoh inisiatif yang ‘konkrit’ dalam melatih pelajar tempatan termasuk daripada golongan berpendapatan isu rumah 40 peratus terendah (B40).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk saling bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) agar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di negeri ini turut dibuka kepada pelajar tempatan yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik.

“Inisiatif kita (Kerajaan Negeri) melalui PSDC mungkin boleh dicontohi oleh Kerajaan Pusat, cuma masalahnya pengambilan pelajar ke ILP ditentukan oleh UPU (Unit Pengambilan Universiti).

“Memang kita telah menghantar surat kepada KPM untuk menerangkan bahawa inilah contoh ‘konkrit’… masalahnya selama 10 tahun lalu (2008 – 2018), kita tidak ada kuasa ke atas ILP.

“Sekarang, saya (mencadangkan) ILP sepatutnya dibuka kepada pelajar tempatan,” ujarnya sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga ADUN Perai menjelaskan, PSDC adalah contoh agensi negeri yang mempunyai rekod melatih tenaga buruh mahir bagi memenuhi sektor perindustrian negeri, serta patut diangkat sebagai salah satu program fiskal di peringkat Persekutuan.

Sebelum itu, Norlela menyatakan bahawa di Kulim High Tech, Kerajaan Negeri Kedah dan beberapa penggerak industri menyediakan ‘sistem sokongan’ termasuk elaun pengajian RM1,100 kepada pelajar tempatan daripada golongan B40 untuk belajar dalam pelbagai subsektor industri.

Justeru, beliau meminta Ramasamy menunjukkan contoh konkrit dalam bentuk sistem sokongan demi melatih pelajar tempatan dari kawasan luar bandar yang tidak ada keputusan akademik yang cemerlang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING