BAYAN LEPAS – Kajian berkaitan menganggarkan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSI) akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion, menarik pelaburan asing lebih RM70 bilion dengan jumlah pendapatan keseluruhan negara berjumlah RM226.5 bilion.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam jangka masa 30 tahun, PSI turut dijangka mencipta 460,000 peluang pekerjaan terutama di negeri Pulau Pinang.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa pentadbirannya akan memastikan limpahan projek pembangunan negeri dinikmati sekalian rakyat yang berbilang kaum, agama dan keturunan di Pulau Pinang.
“Terbaru adalah Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pusat.
“Kita (Kerajaan Negeri) komited meneruskan proses permohonan kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Negeri Pulau Pinang sebelum memulakan projek tambakan (PSI),” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Setia SPICE dekat sini pada 2 Mei 2023.
Turut menyerikan majlis ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor dan juga Tun Dr. Abdul Rahman Abbas (mantan TYT Pulau Pinang).
Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Datin Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan isteri, Datin Mohaini Mohd. Saffar; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar dan isteri, Datin Zuraida Dahari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan isteri, Puan Betty Chew Gek Cheng merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir dalam majlis keraian tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa jumlah pelaburan pembuatan 135 projek yang diluluskan ke negeri Pulau Pinang sepanjang tempoh tahun 2022 adalah berjumlah RM13.7 bilion serta dijangka menjana lebih 15,000 peluang pekerjaan baharu.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pentadbirannya akan memastikan momentum pembangunan dikekalkan bagi tahun 2023 dengan mengeratkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor swasta berkaitan demi kemakmuran ekonomi negeri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Pada majlis sama, Kon Yeow dan Mohd. Sayuthi mengiringi Tun Ahmad Fuzi menyampai sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim Pusat Jagaan Permata Kasih Nibong Tebal.
Penyanyi lagenda 1990-an, Zamani Slam atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim merupakan antara artis yang mengisi pentas persembahan di sini tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT