PSI mungkin dirangkumkan bawah kawasan pentadbiran MBPP, respons Ketua Menteri

Admin
2e89f6c5 4455 45f7 a941 bd1550f79278 KETUA Menteri berucap dalam majlis berkaitan di sini pada pagi tadi.

BAYAN LEPAS – Dikenali sebagai Penang South Island, buat masa ini, kawasan tebus guna bertanah seluas 2,300 ekar kemungkinan akan dirangkumkan sebagai kawasan pentadbiran di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), jika mendapat kelulusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Pada masa kini kawasan Silicon Island adalah tertakluk kepada Jabatan Perancang Bandar Dan Desa sebagai Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) di bawah seksyen 5(2) Akta Perancang Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

Ketua Menreri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu perkara itu seusai merasmikan Program Promosi Awal Kajian Draf Rancangan Tempatan Penang South Island (RTPSI 2050) di sini pada 22 Julai 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pentadbirannya senantiasa terbuka dengan cadangan awam untuk memberi pendapat berhubung draf RTPSI 2050 termasuk syor mewujudkan kawasan daerah baharu atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketiga negeri, dalam tempoh kajian yang bermula pada hari ini hingga 29 Julai 2024.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) terbuka untuk lihat macam mana… pada peringkat sekarang kalau nak tubuh satu PBT yang baharu, pulau itu terlalu kecil.

“Kebarangkalian adalah di bawah MBPP… keputusan Exco juga (diperlukan) untuk memperluas kawasan pentadbiran MBPP yang merangkumi PSI ini,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Difahamkan, RTPSI 2050 disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia) dengan kerjasama Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan AJC Planning Consultants.

Draf RTPSI 2050 berkaitan adalah melibatkan kawasan kajian 3,938 ekar keseluruhannya, yang mana 2,300 ekar adalah kawasan pembangunan manakala baki 1,638 ekar kawasan perairan.

Sehingga tahun 2035, unjuran penduduk di kawasan PSI adalah kira-kira 102,522 penduduk.

Dalam projek pembangunan bercampur di situ, fasa penambakan dan fasa pembinaan ‘topside’ masing-masing menyediakan 600 dan 1,000 peluang pekerjaan, serta menjana 220,000 peluang kerjaya dalam tempoh pembangunan sehingga tahun 2050 nanti.

Fasa penambakan mengambil masa selama 11 tahun sehingga 2033, sementara fasa pembinaan ‘topside’ yang berbuka pada tahun 2025 akan mengambil masa pemajuan selama 25 tahun.

Dengan wujudnya PSI, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2050 dianggarkan RM1.1 trilion.

Pada 18 April 2019, PSI telah menerima 18 nasihat daripada Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) ke-31 Bil. 1/2019.

Berdasarkan nasihat itu, program publisiti awal RTPSI 2050 diadakan selaras dengan peruntukan Seksyen 12A, Akta 172 yang mana satu program publisiti hendaklah dibuat sebelum penyediaan Rancangan Tempatan (RT) diwujudkan.

Kemudiaannya, PSI telahpun diwartakan sebagai Kawasan Keutamaan Pembangunan 2 di bawah Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 pada 24 Oktober 2019.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa tujuan publisiti awal antara lain adalah untuk memaklumkan kepada pihak berkepentingan mengenai penyediaan RTPSI 2050 dan memberi peluang kepada mereka untuk memberi pandangan, cadangan awal, hasrat serta aspirasi untuk diambil kira dalam kajian yang akan dijalankan ini.

“RTPSI 2050 disediakan sebagai sebuah dokumen yang mengandungi dasar dan prinsip utama bagi panduan serta kawalan pembangunan.

“Di samping itu, ia juga merupakan rancangan tempatan pertama di Malaysia yang dibuat di atas tanah tebus guna,” ujarnya.

Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memberitahu bahawa pihaknya turut berharap semua pemegang taruh berkenaan dapat memberi pendapat dalam tempoh draf kajian RTPSI 2030, 22 hingga 29 Julai 2024.

ADUN Jawi itu menyatakan bahawa tiga lokasi iaitu pejabat PLAN Malaysia Pulau Pinang (Aras 57, Komtar), Komtar (ruang legar utama tingkat 3) dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dekat Permatang Damar Laut dibuka mulai 10 pagi hingga 4 petang untuk mendapatkan maklum balas awam.

Di samping itu, beliau berkata bahawa maklum balas awam juga turut boleh disalurkan dengan menghubungkan PLANMalaysia Pulau Pinang menerusi talian 04 – 650 5276 ataupun menerusi portal jpbd.gov.my.

Pada majlis sama, Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang, Dato’ Rozita Hamit turut membuat perbentangan ringkas mengenai kepentingan Program Promosi Awal Kajian Draf Rancangan Tempatan Penang South Island (RTPSI 2050) selama seminggu bermula pagi ini.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato Seri Farizan Darus.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT