SEBERANG JAYA – Politeknik Seberang Perai (PSP) menjadi politeknik pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM Centre yang tersendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Amal TYT, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata, penubuhan STEM Centre tersebut bakal menjadi pengubah keadaan (game changer) dalam ekosistem pembelajaran STEM formal dan tidak formal di Malaysia.
“Pembelajaran tidak formal di STEM Centre ini secara tidak langsung akan menyokong dan memperkukuhkan pembelajaran formal di sekolah, politeknik, universiti dan institusi pendidikan negara.
“Berdasarkan kertas kerja yang disiarkan dalam Journal of Physics, Amerika Syarikat berbelanja sebanhyak USD$3 billion setahun untuk pembelajaran STEM dan 32 peratus daripada jumlah tersebut dibelanjakan bagi pembelajaran STEM tidak formal,” ujar Rozali pada majlis perasmian pusat berkenaan di sini pagi tadi.
Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah PSP, Roseliza Shaari serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pengarah-pengarah politeknik serta dif-dif jemputan.
Menurut Rozali lagi, melalui STEM Centre ini, dianggarkan 20,000 pelajar politeknik dan kolej komuniti di Pulau Pinang akan memperoleh manfaat langsung.
Beliau memberitahu bahawa pembelajaran abad ke-21 memberi penekanan terhadap pengetahuan murid berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang hanya boleh dilaksanakan dengan penyediaan bilik darjah dan peralatan pembelajaran berteknologi tinggi seperti ‘smart board‘, perisian komputer dan capaian internet berkelajuan tinggi.
“Justeru, pada petang ini Tuan Yang Terutama Tun akan menyerahkan 105 ‘smart board’ kepada sekolah-sekolah terpilih di Anjung Seri Mutiara dalam Program Peningkatan Pencapaian Pendidikan Melalui Penggunaan Teknologi.
“Penyampaian sumbangan pada petang ini akan melengkapkan wawasan Tuan Yang Terutama Tun bagi memastikan kesemua 396 buah sekolah di Pulau Pinang mempunyai sekurang-kurangnya satu ‘smart board’,’’ katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS