GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi jaminan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) berhubung pelaksanaan projek tambakan laut di selatan perairan pulau (PSR) Negeri ini.
Dalam pertemuan dengan persatuan berkenaan yang berlangsung di Komtar sebentar tadi, terdapat beberapa isu dibincangkan termasuk cadangan mentransformasikan pemodenan nelayan tradisional Pulau Pinang.
Pengerusi Pen Mutiara, Nazri Ahmad ketika membentangkan cadangan tersebut berkata, perubahan dalam sektor perikanan terutamanya nelayan tradisional perlu diperkasakan seiring dengan pembangunan serta kemajuan negeri.
“Konsep transformasi nelayan moden ini bakal menjadi projek perintis yang mana Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang akan mengaplikasikan pemodenan bot bagi nelayan tradisional.
“Penggunaan bot moden lebih besar yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri terkini merupakan alternatif terbaik untuk menyelamatkan industri nelayan sekiranya projek PSR dilaksanakan kelak,” jelas beliau.
Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar); Ahli-ahli Lembaga Persatuan Pen Mutiara dan wakil syarikat Aaira Marine Consultants & Services Sdn. Bhd. (Aaira Marine).
Difahamkan, bot moden yang dicadangkan oleh syarikat Aaira Marine tersebut berharga RM198,500 seunit dengan dilengkapi ciri-ciri lebih luas dan panjang, mampu membawa sekurang-kurangnya dua hingga tiga krew, mempunyai freezer, dua enjin sangkut 150HP, mampu bergerak lebih laju serta jauh dan kualiti tangkapan ikan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri mengambil maklum akan cadangan tersebut dan menyifatkan pertemuan itu sebagai asas perbincangan dalam mendengar suara hati serta memahami dengan lebih dekat masalah nelayan.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan gunakan pendekatan profesional, kita sedia mendengar, menerima pandangan serta berunding apabila sampai masanya, dan pada masa sama kita akan meneliti cadangan ini.
“Seperti mana yang saya janjikan sebelum ini, bahawa kita tidak akan memulakan sebarang pemajuan selagi kelulusan rasmi tidak diperoleh oleh pihak berwajib.
“Saya alu-alukan cadangan pemodenan nelayan ini, kerana jika diberikan pampasan wang, ia akan habis… tapi alternatif untuk golongan nelayan dapat terus mencari nafkah jika projek PSR ini dilaksanakan adalah yang terbaik.
“Walau bagaimanapun, perbicangan lanjut akan diadakan secara rasmi kelak,” ujarnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN