Tanggungjawab lebih besar, pastikan PTMP berjalan lancar

MENGGALAS tanggungjawab sebagai Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, ZAIRIL KHIR JOHARI sedar bahawa tanggungjawab lebih besar menanti selepas penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

 

Apatah lagi, portfolio pengangkutan yang dahulunya di bawah tanggungjawab Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kini beralih tangan kepada beliau.

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI sempat menemu bual Zairil yang hadir ke persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang baru-baru ini.

 

Menurut Zairil, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau PTMP merupakan agenda utama Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

 

“Kebanyakan isu adalah tertumpu kepada PTMP, dan isu-isu berkaitan pengangkutan adalah isu terbesar bagi rakyat Pulau Pinang.

 

“Tetapi dari segi skop kerja, ia (pengangkutan) berkait dengan infrastruktur jalan, kereta api dan juga berkait dengan portfolio lama iaitu kerja raya, jadi tidak menjadi masalah sangat.

 

“Walau bagaimanapun, fokus saya tetap kepada pelaksanaan PTMP yang merangkumi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSR), projek LRT (Transit Aliran Ringan) dan pembinaan lebuhraya-lebuhraya sebagaimana dirancang,” ujarnya.

 

Selain memfokuskan terhadap projek-projek mega yang dirancang, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga turut memberi tumpuan terhadap penambahbaikan jaringan serta sistem pengangkutan awam.

 

“Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk meneroka medium pengangkutan air baru selain feri. Misalnya teksi air yang boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan kepada rakyat,” katanya.

 

 

Status PTMP

 

Sehingga kini, ramai yang masih bertanyakan mengenai status projek PTMP.

 

“Sebenarnya ada beberapa komponen dalam PTMP yang telah kita mulakan antaranya Pakej 2 iaitu pembinaan lebuhraya dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

 

“PSR pula, segala kelulusan telah diperoleh berserta syarat-syarat seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).

 

“(Dan) kini dalam proses financial architecture yang mana selepasnya akan disusuli dengan lantikan kontraktor bagi memulakan kerja-kerja tambakan.

 

“Begitu juga LRT yang sedang menunggu kelulusan akhir daripada Kementerian Pengangkutan (MOT),” ulasnya.

 

Tangguh kerja kerana pandemik

 

Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi melanjutkan tempoh EIA bagi projek PSR yang dijangka tamat pada Jun 2021.

 

“Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari itu memang tidak dapat bekerja jadi ada kelewatan sikit, atas dasar itu Kerajaan Negeri minta untuk ditangguhkan, namun belum ada respons secara rasmi lagi.

 

“Tetapi dalam pertemuan Kementerian Alam Sekitar dan Air, bersama-sama Ketua Menteri, pihak Jabatan Alam Sekitar memaklumkan akan mempertimbangkan perkara tersebut.

 

“Walau bagaimanapun, sekiranya tidak mendapat kelulusan pun, Kerajaan Negeri akan tetap memulakan projek PSR sebelum EIA tamat dan itu menjadi keutamaan,” ulasnya.

 

 

Cabaran

 

Zairil akui cabaran yang menanti beliau apabila memikul tanggungjawab sebagai Exco Pengangkutan memandangkan portfolio tersebut sering menjadi ‘topik hangat’.

 

“Portfolio ini kerap kali dibangkitkan oleh ADUN semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, begitu juga pihak-pihak lain seperti badan bukan kerajaan dan sebagainya.

 

“Semua orang memang minat dengan isu PTMP khususnya, bukan sahaja rakyat Pulau Pinang bahkan rakyat Malaysia.

 

“Justeru saya perlu pastikan ia berjalan lancar sepertimana yang dirancang,” tegas beliau.