PSUK ambil alih pengurusan Rumah Puspanita serta merta

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini mengeluarkan arahan penamatan kontrak perjanjian Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Negeri Pulau Pinang ke atas Rumah Puspanita, berkuatkuasa serta-merta.

Penamatan kontrak perjanjian tersebut adalah rentetan penahanan 88 individu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di banglo tersebut pada jam 2.45 pagi 20 April lalu.

Dalam suatu kenyataan akhbar oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir, beliau menjelaskan bahawa Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng telah memutuskan untuk menamatkan kontrak perjanjian disebabkan pelanggaran syarat-syarat perjanjian oleh Puspanita Negeri Pulau Pinang.

“Pengurusan Rumah Puspanita di alamat No. 135, Jalan Masjid Negeri kini diambil alih oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) dan berkuatkuasa serta-merta.

“Kerajaan Negeri memandang serius kejadian penyalahgunaan bangunan kerajaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,’’ tegas beliau.

Sebagai rekod, rumah banglo inap tersebut diserahkan kepada Puspanita Negeri Pulau Pinang pada 15 Jun 2009 selepas didapati terbiar kosong sejak tahun 2006.

Selepas kerja-kerja membaik pulih dilaksanakan, tawaran kepada Puspanita diberi mulai 1 Februari 2010 sehingga 31 Januari 2013 dengan dikecualikan dari bayaran sewa.

Pihak Puspanita sekali lagi memohon untuk melanjutkan penggunaan banglo inap selama 10 tahun, walau bagaimanapun, perjanjian hanya diberikan untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Februari 2013 sehingga 31 Januari 2016.

Premis tersebut telah digunakan sebagai tempat mengadakan program rasmi Puspanita selain membenarkan orang ramai membuat tempatan menggunakan bangunan tersebut seperti program inap desa, kenduri kahwin, majlis hari jadi, majlis pertemuan semula dan majlis pertunangan.

Dalam kejadian tersebut, dipercayai kesemua individu yang ditahan, berumur antara 18 hingga 35 tahun, atas pertuduhan mengambil pelbagai jenis dadah ketika meraikan pesta hari jadi.