PSUKPP kukuh budaya kerja cemerlang

GEORGE TOWN – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) baru-baru ini melancarkan buku Pelan Strategik dan Pelan Strategik Teknologi Informasi dan Komunikasi, ICT (ISP) perkhidmatan awam negeri sebagai rancangan bagi tempoh lima tahun bermula Januari 2016 sehingga Disember 2020.

Pelancaran tersebut disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dalam satu majlis bertemakan ‘Way Forward 2016’ di sini.

Farizan dalam ucapannya menyatakan bahawa pelan strategik yang dirangka itu bertujuan mengukuhkan budaya kerja cemerlang dan fleksibel dalam usaha menghasilkan output berprestasi tinggi serta mutu penyampaian yang memenuhi kehendak semua.

“Pelan Strategik PSUKPP ini merupakan manifestasi hala tuju, komitmen serta mekanisme dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri ke arah negeri bertaraf antarabangsa.

“Semua bahagian dalam PSUKPP hendaklah menterjemahkan kandungan dalam pelan strategik ini sebagai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) bahagian masing-masing agar seluruh warga PSUKPP sehaluan bagi mencapai visi dan misi dalam memacu kegemilangan organisasi,” katanya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ghazali Derahman, Ketua-ketua Jabatan serta kakitangan awam pelbagai gred dalam perkhidmatan awam negeri.

Mengulas lanjut, Farizan memberitahu, kekukuhan dan kecemerlangan sesebuah organisasi sangat bergantung terhadap keupayaan anggotanya menterjemahkan aspirasi masing-masing secara kolektif dengan berpandukan Pelan Strategik berkenaan.

“Saya amat berharap melalui kedua-dua pelan strategik yang dilancarkan ini dapat menghasilkan anggota perkhidmatan awam negeri yang memiliki tahap profesionalisme bertaraf antarabangsa dan versatil,” ujar beliau.