GEORGE TOWN – Seiring tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, Sambutan Semarak Merdeka telah dilancarkan dengan penuh kemeriahan di Pusat Transit Gelandangan (PTG) di Jalan C.Y. Choy melibatkan penghuni dan komuniti setempat.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Kim berkata Kerajaan Negeri menyambut baik konsep penganjuran program yang melibatkan penyertaan komuniti setempat dan gelandangan.
“Seramai kira-kira 100 penghuni sementara PTG, komuniti setempat serta barisan sukarelawan terlibat pada sambutan pagi ini bertujuan bagi memupuk keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Di samping acara perarakan dari Flat Lebuh Noordin ke PTG mengibarkan Jalur Gemilang, turut diadakan adalah sukaneka bagi memeriahkan lagi majlis pada hari ini.
“Jika dilihat sehingga kini, PTG telah menunjukkan perkembangan yang amat positif dan diharapkan penghuni di sini dapat menjaga persekitaran dan kebersihan di pusat ini,” ujarnya sambil menyeru agar golongan warga emas di PTG dapat mengekalkan gaya hidup dan tabiat sihat menerusi penganjuran aktiviti pada masa akan datang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Pengurus PTG, Nazatulwanis Mohd. Khorish.
Mengulas lanjut, Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang turut memaklumkan bahawa hari ini juga merupakan ulang tahun pertama pengoperasian PTG sejak dimulakan pada Jun tahun lepas.
“Genap setahun PTG beroperasi, dan meskipun menghadapi pelbagai masalah pada peringkat awal pengoperasian, kini pusat ini telah berkembang menjadi sebuah pusat komuniti dengan kemajuan yang memberangsangkan.
“Pada peringkat awal, PTG tidak mampu untuk menyediakan makanan harian, namun hari berganti hari semakin banyak sumbangan diterima oleh badan bukan kerajaan (NGO), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan-persatuan kuil dan banyak lagi.
“(Dan) sumbangan tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada gelandangan di pusat ini, malahan juga terhadap kepada komuniti yang berpendapatan rendah (B40) sekitar sini.
“Malah, setakat hari ini, seramai 108 gelandangan telah berjaya mendapatkan pekerjaan, PTG telah bekerjasama rapat dengan 29 syarikat yang terlibat yang menyalurkan bantuan dari segi padanan kerja,” jelasnya.
Serentak majlis yang sama, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan acara penyampaian hadiah bagi pertandingan reka bentuk papan kertas Hari Kebangsaan, acara perbarisan terbaik serta pemenang bagi acara sukaneka berkumpulan.
Difahamkan, setakat 15 Ogos, seramai 348 penghuni menginap di PTG dan mempunyai pas akses penghuni melibatkan sebanyak 55.4 peratus gelandangan dari Pulau Pinang mengikut statistik negeri.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : JOANNE FOONG