PTG sambut ulang tahun pertama, giat anjur program menarik sepanjang tahun

img 20240821 wa0018

SEMPENA menyambut ulang tahun yang pertama, Pusat Transit Gelandangan (PTG) di Jalan C.Y. Choy yang telah beroperasi sejak Jun lalu tampil dengan pelbagai program menarik sepanjang tahun ini.

Malah, PTG juga kian dikenali umum bukan sahaja di Pulau Mutiara bahkan juga sehingga ke negeri Pantai Timur dan turut melibatkan program-program CSR (tanggungjawab sosial korporat) daripada pelbagai pihak.

Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, LAW SUUN TING berkesempatan membuat tinjauan lapangan serta mendapatkan maklum balas lanjut daripada Pengurus PTG, NAZATULWANIS MOHD. KHORISH.

img 20240821 wa0026
NAZATULWANIS Mohd. Khorish.

Menurut Nazatulwanis, PTG sentiasa menggunakan pendekatan secara baik terhadap gelandangan yang dilihat mampu dipulihkan untuk kembali dalam masyarakat sebagai insan normal.

“Konsep di sini adalah untuk membantu golongan gelandangan dari segi perlindungan, kebersihan, keselamatan dalam meneruskan kehidupan sebagai sebahagian daripada masyarakat.

img 20240821 wa0023
PERKHIDMATAN mencuci motosikal serendah RM4 di PTG.

“Seperti yang sedia maklum, selaras dengan visi di PTG, sebuah inisiatif perkhidmatan mencuci motosikal serendah RM4 telah diwujudkan bagi membina semula motivasi mereka untuk bekerja tanpa perlu mengemis.

“Malah, terdapat juga permintaan untuk membasuh kereta, akan tetapi memandangkan tiada kelengkapan peralatan maka (gelandangan) hanya membasuh motosikal setiap hari bergantung kepada permintaan.

“Aktiviti seperti menghasilkan kraftangan bakul plastik turut dianjurkan bagi mengasah kemahiran mereka, ada juga yang sukakan aktiviti kesihatan, oleh itu PTG mengadakan aktiviti senam robik setiap seminggu sekali bermula seawal pagi,” ujar beliau semasa pertemuan di pejabatnya pagi tadi.

img 20240821 wa0022
ANTARA sumbangan makanan yang diterima setiap hari dari pelbagai pihak.

Tambah Nazatulwanis, sambutan yang diterima pihak PTG amat baik melalui kerjasama dari pelbagai pihak luar dan turut dialu-alukan pada masa akan datang.

“Terdapat banyak juga penglibatan dan kerjasama erat bersama-sama pihak Giatmara, Kolej-kolej Vokasional, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan lain-lain lagi.

“Antara perancangan program pada masa hadapan adalah melibatkan beberapa sesi taklimat kebersihan kendiri, rutin asas mengemas serta penjagaan gigi dengan kerjasama pihak USM.

“Di samping itu, pihak Maybank (Cawangan Utama Kuala Lumpur) juga bakal turun padang menjalankan program CSR melibatkan aktiviti gotong-royong serta sumbangan barang mentah dan kelengkapan kebersihan.

“Selain itu, banyak juga sumbangan makanan harian oleh badan bukan kerajaan (NGO), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan-persatuan kuil dan banyak lagi.

92fa49ff bac6 4071 ba54 97ef26a3c468
BARISAN sukarelawan membuat persediaan Sambutan Semarak Merdeka pada Jumaat ini.

“Malah, Sambutan Semarak Merdeka akan diadakan pada 23 Ogos 2024 (Jumaat) ini dan bakal disempurnakan oleh Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim.

“Di samping acara perarakan dari Flat Lebuh Noordin ke PTG melibatkan gelandangan dan komuniti, terdapat juga acara sukaneka menarik khusus bagi memeriahkan lagi majlis tersebut,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, Nazatulwanis turut berkongsi setakat 15 Ogos, seramai 348 penghuni menginap di PTG dan mempunyai pas akses penghuni.

“Sistem di sini sudah tentu kita mementingkan penghuni dari mereka yang datang ‘walk in’, bagi penghuni yang memakai pas penghuni, kakitangan PTG mudah mengenal pasti mereka serta turut diberi keutamaan.

img 20240821 wa0021
SESI libat urus di antara gelandangan dan kakitangan PTG.

“(Dan) setakat hari ini, seramai 108 gelandangan telah berjaya mendapatkan pekerjaan, PTG bekerjasama rapat dengan agensi terlibat, antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyalurkan bantuan dari segi padanan kerja dan pemantauan secara berterusan oleh pihak majikan.

“Manakala, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berfungsi bagi mendapatkan maklumat peribadi serta pengesahan kewarganegaraan yang turut melibatkan sebanyak 55.4 peratus gelandangan dari Pulau Pinang mengikut statistik negeri.

“Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bekerjasama mengambil tindakan terhadap penghuni PTG yang telah melanggar peraturan serta terlibat dengan gejala tidak sihat,” tambahnya.