PTSR manfaat 2,179 usahawan sejak 2009

PANTAI JEREJAK – Semenjak Program Titian Saksama Rakyat (PTSR) diperkenalkan pada tahun 2009 hingga Februari lalu, seramai 2,179 usahawan kecil negeri ini ‘dibantu’ dengan membabitkan jumlah peruntukan RM9.48 juta.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, skim pinjaman PTSR adalah bertujuan memberi galakan kepada rakyat untuk menceburi bidang perniagaan sebagai usaha Kerajaan Negeri membasmi kemiskinan di negeri ini.

“Pastinya, keutamaan diberikan kepada peniaga-peniaga kecil dengan jumlah pinjaman maksimum bernilai RM5,000 dan tempoh bayaran balik sehingga dua tahun, tanpa faedah.

“Daripada 2,179 peminjam berkaitan, 83.4 peratus adalah berketurunan Melayu, manakala Cina (8.4 peratus) dan India (8.2 peratus),” katanya pada Majlis Penyampaian Cek PTSR di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Phan Gaik Cher (Ketua Pegawai Kewangan PDC).

PTSR yang dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama bersama PDC adalah bertujuan membantu usahawan kecil memulakan peniagaan melalui skim pinjaman dan pembiayaan balik mudah serta tidak membebankan.

Menurut Mohd. Rashid, walaupun kemudahan tersebut disediakan demi kepentingan rakyat negeri ini, beliau bagaimanapun terkilan apabila masih terdapat 18 peratus peminjam yang masih gagal melunaskan bayaran balik.

“Jumlah pinjaman terbabit adalah RM1.57 juta.

” Justeru,  adalah diharapkan semua peminjam berwajib masing- masing dapat bayar balik mengikut jadual yang dipersetujui bersama sebelum ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Dalam pada itu, salah seorang peniaga kuih dan nasi lemak, Muhammad Hafiz Afandi, 26, mengakui bahawa PTSR banyak membantu beliau mengembangkan perniagaan kuih-muihnya.

“Kaedah pembayaran balik secara mingguan yang mana pegawai PDC sendiri datang kutip wang di premis perniagaan amat memudahkan urusan.

“Ini merupakan kali kedua saya membuat pinjaman PTSR,” katanya yang berhasrat membeli sebuah mesin bagi membantu pembuatan kuih karipap dan peti sejuk beku.

Difahamkan, kali pertama Muhammad Hafiz memperoleh kelulusan bantuan pinjaman PTSR adalah pada tahun 2014.