GEORGE TOWN – Pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang menzahirkan sokongan dan kebersamaan terhadap pimpinan Ketua Menteri, YAB Tuan Chow Kon Yeow di negeri ini.
Pengerusi Amanah Negeri, Muhammad Faiz Fadzil yang juga Setiausaha Agung Amanah berkata bahawa bagi memastikan Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini kekal pada masa akan datang, Amanah akan memainkan peranan lebih aktif terutama dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Walau usia Amanah dianggap masih muda, namun pengalaman yang ada adalah cukup lama untuk mengemudi hala tuju politik.
“Malah, Amanah pada peringkat Pusat juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengubah perlembagaan (parti) yang mana pelantikan pengerusi Amanah negeri diserahkan kepada budi bicara Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) Amanah.
“Namun, pelantikan yang dibuat ini adalah melalui pencalonan tanpa mengetepikan hak serta pandangan ahli-ahli pada peringkat akar umbi.
“(Hal ini) akan membantu memantapkan lagi pentadbiran parti pada semua peringkat dalam mengukuhkan jentera serta meningkatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya pada sesi kunjungan hormat ke atas Kon Yeow di Komtar, petang tadi.
Pada pertemuan itu, Muhammad Faiz turut memperkenalkan barisan pimpinan baharu Amanah Negeri.
“Saya menaruh harapan dengan pimpinan baharu ini, ia dapat menggerakkan jentera untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu.
“(Ini) termasuk mengukuhkan kerjasama dengan parti Umno dan lain-lain parti gabungan seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Juga, kami (Amanah Negeri) akan menggerakkan jentera untuk menambah penglibatan pengundi muda dalam program-program dan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya sambil bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju serta peranan parti itu sebagai sebahagian jentera kerajaan yang ada pada hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Amanah dalam gabungan politik pada semua peringkat termasuk pihak berkuasa tempatan dan juga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Saya percaya bahawa dengan hala tuju pucuk pimpinan baharu parti Amanah dan dengan tanggungjawab yang dipikul kini, ia akan dapat perkukuhkan lagi sokongan serta kerjasama demi memastikan Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang yang ada pada hari ini sentiasa relevan.
Semestinya untuk penggal ini, fokus adalah untuk merealisasikan projek-projek pembangunan dan pengangkutan awam seperti Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran lapangan terbang termasuk Projek Air Perak – Pulau Pinang.
“Memang projek-projek ini tidak akan dapat habis dalam penggal ini, namun saya berharap dapat dimulakan semasa penggal ini,” jelasnya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang.
Selain membincangkan isu-isu berkaitan senario politik negara, turut dibangkitkan adalah kedudukan kewangan negeri; usaha serta inisiatif yang sedang dirancang pada peringkat negeri dan isu mengenai cadangan menambah baik bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee antara yang turut serta dalam perbincangan tersebut termasuk barisan pimpinan Amanah Negeri iaitu Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Dr. Zaidi Zakaria; Naib Pengerusi 1, Muhamad Suzuki Ahmad; Naib Pengerusi 2, Fadzil Abdullah; Setiausaha, Zahar Zainul; Bendahari, Ramli Omar; Ketua Pemuda, Muhamad Khairul Mohd. Ali; Penolong Setiausaha 1, Ahmad Saufian Harun dan Penolong Setiausaha 2, Dzul Fahmi Abu Bakar.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NURATIKAH RAHMAT