Pulau Jerejak berpotensi sebagai lokasi sukan lasak – Exco

Admin
e856bccf d879 44dc b8df 48d53e500347

PANTAI JEREJAK- Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen bercadang mengadakan libat urus bersama persatuan-persatuan sukan lasak bagi membincangkan mengenai pembangunan pusat sukan tersebut dekat Pulau Jerejak.

Secara umum, beliau melihat pulau yang penuh bersejarah itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebuah lokasi khas bagi aktiviti sukan-sukan lasak.

“Sesi libat urus ini akan diadakan bersama-sama penggiat sukan bagi meneliti kesesuaian Pulau Jerejak sebagai Lokasi bagi aktiviti sukan lasak dengan beberapa ujian untuk mendapatkan maklum balas para peserta.

“Kita juga melihat cabaran untuk ke sini yang hanya boleh diakses melalui bot, yang menyukarkan kehadiran peserta dalam jumlah yang ramai, contohnya sehingga 1,000 orang.

“Dari segi laluan, sudah ada denai-denai semula jadi yang berpotensi untuk dimajukan tetapi perlu menjaga kelestarian alam sekitar.

img 9433

“Ini bermakna pembangunan yang hendak dilakukan tidak boleh sehingga menjejaskan alam sekitar di sini,” ujar Zi Sen kepada Buletin Mutiara pada sesi lawatan ke Pulau Jerejak di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ezhar Yusuf;  Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, YM Tengku Mohd. Ridzuan Tengku Ibrahim.

Muhammad Ezhar dalam pada itu berkata bahawa beliau melihat 77 peratus daripada keluasan hutan simpan kekal Pulau Jerejak yang diwartakan pada tahun 2020 itu wajar dimanfaatkan oleh rakyat Pulau Pinang dengan pertimbangan pembangunan kawasan khas yang didedikasikan sebagai kawasan sukan lasak.

“Kita tahu di Pulau Pinang ada penggemar sukan lasak tetapi mereka tidak ada kawasan khas, jadi Jabatan Perhutanan, Pejabat Exco bersama MSNPP adakan satu lawatan untuk melihat kesesuaian Pulau Jerejak dibangunkan bagi sukan ektrem ini,” jelasnya lagi.

abdbfadb 755a 47c4 a531 ef30e367025b

 

Sementara itu, Heng Hua berharap sekiranya projek sukan lasak di Pulau Jerejak itu menjadi kenyataan ia akan membawa pulangan kepada Kerajaan Negeri.

“Seperti yang kita ketahui, Pulau Jerejak juga adalah khazanah alam, sukan bermotor memang tidak akan diadakan kerana kita akan gunakan laluan yang ada secara semula jadi.

2dfada86 44a5 4e92 83d4 e4e52f94dc47

 

“Pada peringkat MSNPP pula, kita juga akan adakan perbincangan dengan persatuan-persatuan sukan yang berkaitan, agar aktiviti lebih bersesuaian mengikut pertimbangan bersama.

“Walau bagaimanapun, pulau ini akan kekal bawah Akta Hutan Simpan Kekal untuk tiada pembangunan yang melampau,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD