Pulau Pinang ada 25,937 kekosongan jawatan, pertumbuhan jawatan 18.4 peratus – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo

GEORGE TOWN – Bilangan kekosongan jawatan yang diiklankan secara dalam talian untuk negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 25,937 jawatan dengan catatan pertumbuhan tahun ke tahun pada suku pertama 2023 kira-kira 18.4 peratus, lapor sumber penerbitan Big Data Analytics: Job Market Insights Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata demikian sebagai respons kepada isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua.

Dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini tadi (23 November 2023), Jagdeep turut mengemukakan perincian kekosongan jawatan mengikut sektor-sektor utama berkaitan.

“Daripada jumlah jawatan tersebut, direkodkan
bahawa sejumlah 2,143 jawatan kosong daripada sektor pembuatan; 1,125 jawatan kosong bagi sektor perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal manakala sejumlah 520 jawatan kosong daripada sektor pentadbiran dan khidmat sokongan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

Beliau turut memberi respons terhadap isu yang dibangkitkan oleh ADUN Berapit, Heng Lee Lee berhubung pasaran tenaga kerja tempatan perlu menyediakan peluang kerjaya bernilai tinggi berbanding di luar negara, untuk graduan.

Sebagai Lembah Silikon Timur, Jagdeep menjelaskan bahawa di Pulau Pinang ada lebih 350 syarikat multinasional serta 4,000 perniagaan kecil dan sederhana yang komited dalam keperluan guna tenaga berbakat di negeri ini kini dan pada masa hadapan.

“Ini kerana, ia mempengaruhi kadar pertumbuhan pesat ekonomi Pulau Pinang yang merupakan sebuah hab global,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong dasar tenaga Malaysia seperti Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040, Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan cadangan-cadangan berkaitan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN