GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan memuktamadkan Pelan Tindakan Bandar Mesra Usia pada tahun 2024, berdasarkan lapan teras utama sebagaimana ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) demi mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk penuaan aktif dan sihat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai Pulau Pinang menjelang tahun 2040 akan mempunyai warga emas berusia 60 tahun dan ke atas kira-kira 26.2 peratus.
Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Sungai Pinang memberitahu bahawa pelan tindakan sepanjang tempoh 2024 hingga 2025 antara lain akan memberi tumpuan pada mempelbagaikan pilihan perumahan bersesuaian untuk warga emas.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pelan induk tersebut turut akan memberi tumpuan kepada usaha memudahkan akses kesihatan serta sokongan kepada warga emas iaitu dalam bentuk sistem sokongan masyarakat dan perkhidmatan kesihatan.
Tambah Siew Khim, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang akan berusaha mewujudkan bandar mesra warga emas di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang berusaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesra Usia yang terangkum dari segi perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan.
“MBPP telah diterima menjadi ahli ‘Global Network of Age-Friendly Cities and Communities’ oleh WHO pada 28 Julai 2023,” ujarnya.
Penjelasan Siew Khim itu sebagai menjawab Soalan Lisan daripada ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR