Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat – Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyatakan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini, ‘Pulau Pinang milik Kedah’ adalah bersifat berbahaya dan tidak berperlembagaan.

 

 

Menurut Guan Eng, selain itu kenyataan Muhammad Sanusi yang menyatakan bahawa Perlembagaan (Persekutuan) perlu dipinda.

 

 

“Ini nyata dia (Muhammad Sanusi) sendiri sedar bahawa apa yang dia sebut (Pulau Pinang milik Kedah) adalah salah, adalah satu kesilapan, adalah perkara tidak berperlembagaan dan kalau tidak berperlembagaan bermaksud tidak sah.

 

“Kita semua tahu bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat, kita ada Yang DiPertua Negeri, kita ada Ketua Menteri, kita ada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kita ada sistem pentadbiran kerajaan yang diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan.

 

 

“Malah, kalau anda lihat jata negara, ada juga lambang (jata) Pulau Pinang, kalau kita lihat jalur dan bintang (bendera Malaysia) pun ada melambangkan Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dekat sini.

 

 

Guan Eng bersama-sama Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer hadir ke ibu pejabat polis berkaitan pada pagi ini bagi membuat laporan berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin berkenaan beberapa hari lepas.

 

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Berapit, Heng Lee Lee dan pimpinan lain.

 

 

Menurut Guan Eng lagi, Muhammad Sanusi perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja dan kontrak sosial yang telah mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat.

 

 

Dalam pada itu, Rayer ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa kenyataan Muhammad Sanusi itu boleh ditafsirkan sebagai hasutan dan boleh menimbulkan huru-hara dalam kalangan rakyat dan memohon agar pihak polis mengambil tindakan segera.

 

 

Pada 9 Februari lalu, Rayer juga pernah membuat laporan polis berikutan satu video di media sosial yang memaparkan Menteri Besar Kedah itu mempertikai serta meragui kedaulatan negeri Pulau Pinang.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI