Pulau Pinang akan contohi kaedah tanam padi Bogor, Indonesia

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADAPP) akan mencontohi kaedah penanaman padi dari wilayah Bogor, Indonesia.

 

Menurut beliau, pengeluaran beras negara termasuk negeri Pulau Pinang ketika ini hampir mencecah 70 peratus Tahap Sara Diri (SSL) sahaja, berbanding 95 peratus SSL di Indonesia terutama dari wilayah Bogor.

 

“IADA telah menetapkan sasaeran produktiviti pengeluaran padi bersih negeri purata 7.0 matrik tan perh hekta pada tahun 2020.

 

“Di Negeri Pulau Pinang, purata hasil padi bersih negeri yang terkini iaitu bagi musim 2017/2018 adalah 5.027 tan per hektar.

 

“Pulau Pinang mesti belajar kaedah penanaman padi dari Bogor, Indonesia yang mencatatkan pengeluaran beras negara (berbanding populasi penduduk) mencecah 95 peratus (SSL),” jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada 18 Jun 2019.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Hari Bertemu Pelanggan Dan Sambutan Aidilfitri 1440H/2019 di Dewan Terbuka, Pusat Transformasi IADA Pulau Pinang di sini.

 

Turut berucap Pengarah IADA Pulau Pinang, Noor Mazirah Teh.

 

Hadir sama, Ir. Ahmad Darus, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Putrajaya, mewakili Menteri Salahuddin Ayub.

 

ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail turut sertai majlis sama keraian tersebut.

 

Pada sidang media selepas itu, Dr. Afif memberitahu tujuan pelaksanaan sistem pengairan secara berjadual sejak beberapa tahun lepas supaya pengurusan pengeluaran padi mencapai sasaran semasa, iaitu 6 tan per hektar bagi tahun 2019.

 

“Jadi, cabarannya besar…sebab itu apabila kita (IADAPP) meletakkan sasaran 6 tan per hektar ini, ia tidak hanya memerlukan (komitmen) daripada jabatan-jabatan berwajib, juga sokongan daripada para petani dan pesawah secara keseluruhannya,” jelasnya.

 

Beliau turut menyatakan perasaan empeti dengan kebimbangan pesawah berhubung isu musim kemarau yang melanda negeri belakangan ini.

 

“Ada banyak lah pertimbangan mereka seperti takut apabila air tak ada, tak boleh buat semaian, tanaman, terpaksa buat secara ‘serak’…apabila serak ini, ia tak boleh capai matlamat yang kita sasarkan (iaitu 6 tan per hektar),” jelasnya lagi.

 

Justeru, Dr. Afif berkata pihaknya sedang memikirkan kaedah untuk mendapatkan padi yang lebih baik termasuk import dari Belanda.

 

“Dalam lawatan baru-baru ini, kena ada kenal pasti suatu syarikat yang menghasilkan benih padi yang rintang penyakit, dengan meletakkan komponen aktif pada benih padi itu, apabila diletakkan (ditanam) dalam tanah, komponen aktif itu akan meresap dalam tanah dan pemangsa tidak datang (menyerang tanaman),” jelasnya.

 

Noor Mazirah memberitahu jumlah pesawah di negeri ini meliputi empat dari lima daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya adalah seramai 5,312 orang.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD