Pulau Pinang akan dijadikan gelanggang tetap penganjuran STL

Admin

PANTAI JEREJAK – Pulau Pinang akan menjadi gelanggang tetap penganjuran Sepak Takraw League (STL) setiap tahun, kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Menurutnya, penganjuran STL 2019 yang berakhir hari ini dekat SPICE Arena mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai terutamanya penyokong sepak takraw.

“Sememangnya penganjuran di Pulau Pinang adalah yang terhebat yang pernah dibuat, meskipun pertama kali kita anjur di sini.

“Saya telah berbincang dengan Y.A.B. Ketua Menteri dan Exco (Belia dan Sukan), Pulau Pinang akan dijadikan destinasi tetap tiap-tiap tahun STL,” ujar beliau yang juga merangkap Yang di-Pertua Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang.

Selain Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck Aun merupakan antara pemimpin negeri yang hadir.

Perlawanan akhir di antara Penang Black Panthers menentang PDRM Defenders yang berlangsung kira-kira jam 8 malam tadi disaksikan lebih 3,000 penyokong.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika berucap menzahirkan harapan agar pasukan Pulau Pinang (Penang Black Panthers) akan terus maju.

“Tahniah kepada pihak penganjur, kali ini penganjuran di Pulau Pinang mendapat sambutan hebat daripada peminat-peminat sepak takraw, diharap pasukan negeri akan teruskan momentum dan maju jaya,” serunya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING