GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan bekalan makanan kepada anggota barisan hadapan dan penduduk di dua kawasan yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah mencukupi.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika menjawab soalan daripada pemberita pada sidang media yang diadakan di Bangunan U.A.B dekat sini pada 7 Disember 2020.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan termasuk memastikan bekalan makanan mencukupi kepada mereka yang berada di kawasan terjejas.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana Kerajaan Persekutuan telahpun mengambil kira pendapat dan pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu kalau nak melaksanakan PKPD juga, maka ia perlu (secara) bersasar di kawasan tertentu.
“(Dan) seperti PKP, ia akan membawa pelbagai kesan, jadi kita akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memohon bantuan di kawasan yang terjejas termasuk di zon merah iaitu di Mukim 12 Daerah Barat Daya dan Mukim 13 Daerah Timur Laut,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintahan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Pulau Pinang ditamatkan.
Pun begitu, menurut Menteri Kanan, PKPD dilaksanakan di dua lokaliti iaitu di flat Persiaran Paya Terubong, Relau dan Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban bermula 7 Disember hingga 20 Disember ini.
Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu pihaknya akan memastikan ADUN yang terlibat dapat mengeluarkan peruntukan khas masing-masing untuk menyalurkan bantuan berwajib kepada anggota barisan hadapan dan penduduk yang terjejas di kedua-dua lokaliti tersebut.
Selain itu, beliau turut menasihatkan kepada penduduk yang berada di kedua-dua lokaliti berkenaan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD.
Antaranya, penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman atau tempat tinggal masing-masing kecuali seorang sahaja wakil untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas daripada jam 8:00 pagi hingga 2:00 petang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa hasil pemeriksaan 486,725 premis yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati tahap pematuhan SOP berada pada angka 99.70 peratus, sementara di bahagian pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula pada tahap 99.37 peratus (berdasarkan pemeriksaan 702,463 premis).
“Saya ingin tegaskan, di peringkat Kerajaan Negeri, kita tidak akan kompromi dengan tugasan kita untuk memastikan semua kawasan di Pulau Pinang terus dipantau,” katanya lagi.
Sehingga 6 Disember 2020, 31 kes baharu positif COVID-19 direkodkan di negeri ini, iaitu 20 kes melibatkan kluster sedia ada; enam kes yang ada kontak rapat dengan mereka yang disaring dan baki lima kes lagi berdasarkan saringan kesihatan.
Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 2,343, dengan 282 kes aktif sementara baki 2,055 adalah mereka yang telah pulih.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING