Pulau Pinang alu-alukan RM2.83 bilion pelaburan strategik Dexcom, cipta 3,000 peluang kerjaya – Ketua Menteri

38bb902a aa00 44fc a609 9179bcd460bb

BUKIT TAMBUN – Firma peranti perubatan global dari Amerika Syarikat, Dexcom secara rasminya membuka kilang baru di Bandar Cassia dekat Batu Kawan dengan pelaburan strategik berjumlah RM2.83 bilion, mencipta lebih 3,000 peluang pekerja di Pulau Pinang serta dijangka memberi kehidupan positif kepada kira-kira 3 juta penduduk dunia.

752de1c8 06ae 47a6 833a 2af79d9b88be
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis pembukaan kilang baru Dexcom di sini tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Dexcom bukan sahaja membuka kilang pertamanya di negeri Pulau Pinang, malah juga pertama di luar Amerika Syarikat.

Dengan kehadiran Dexcom, beliau berharap Pulau Pinang suatu hari nanti bakal menjadi hab teknologi perubatan bagi rantau Asia Tenggara.

“Dexcom Inc., yang berpengkalan di San Diego, California, dan diasaskan pada 1999 merupakan (firma) peneraju global berkaitan teknologi pemantauan glukosa berterusan (CGM) untuk individu yang menghidap diabetes.

“Majlis perasmian (kilang baru) ini menandakan babak baharu dan menarik bagi Dexcom dalam mengembangkan operasi (pelaburannya pada peringkat) global.

“Sesungguhnya, Pulau Pinang sangat berbesar hati dengan pembukaan kilang luar persisir pertama Dexcom dan juga di luar Amerika Syarikat,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara gimik perasmian pembukaan operasi kilang baru Dexcom tersebut di sini pada 12 November 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Konunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri hari ini berharap dapat mengekalkan hubungan kerjasama dengan lebih erat dengan firma pelabur seperti Dexcom demi mempercepat program pengembangan ekosistem pelaburan berkaitan sektor teknologi perubahan, yang mana sekali gus melimpahkan manfaat ekonomi kepada rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), InvestPenang (IP) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang terus gigih berusaha mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri destinasi pelaburan pilihan serantau.

Beliau berkata dengan rekod kecemerlangan selama lebih lima dekad, Pulau Pinang ketika ini berada di landasan betul ke arah menjadi hub teknologi perubatan rantau Asia Tenggara.

“Dengan menempatkan jumlah terbesar syarikat berkaitan dalam bidang teknologi perubatan pada peringkat nasional dan serantau, Pulau Pinang kekal sebagai lokasi yang sangat menarik untuk ketersediaan infrastruktur dan ekosistemnya yang memenuhi keperluan industri ‘MedTech’.

“Dalam tempoh lima tahun (2019 hingga 2023), Pulau Pinang telah menjana sejumlah RM5.8 bilion pelaburan berkaitan sektor pembuatan peranti saintifik yang menyamai kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara bagi sektor sama melibatkan 33 projek serta telah mencipta kira-kira 4,630 peluang kerjaya,” ujarnya.

Ketua Pegawai Operasi Dexcom, Jake Leach dan Columba McGarvey (Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden Operasi Dexcom) turut berucap dalam majlis perasmian pembukaan kilang tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDC, Dato’ Aziz Bakar; CEO IP, Dato’ Loo Lee Lian; Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Wilayah Pulau Pinang, Norbaya Kamaludin; Pengarah Eksekutif Promosi Pelaburan MIDA, Faizal Jalaludin dan Naib Presiden Eksekutif (Operasi) Dexcom, Barry Regan.

Sebagai rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Pulau Pinang kekal berada di kedudukan terbaik dari segi perdagangan pada September tahun ini, dengan 37.5 peratus atau RM46.5 bilion daripada jumlah perdagangan semasa negara.

Sejak lima tahun lepas juga, Buletin Mutiara difahamkan, Pulau Pinang merekodkan jumlah eksport berkaitan instrumen saintifik termasuk peranti perubatan bernilai kira-kira RM149 bilion, yang menyamai purata 67 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara dalam tempoh tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SIEW CHIA EN