Pulau Pinang amat perlukan tenaga mahir bagi bangunkan sosioekonomi negeri – Ketua Menteri

Admin

JAWI – Seramai 260 anak Pulau Pinang terpilih dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menerima cek bantuan pendaftaran pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kedua peringkat negeri bagi tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa program modal insan tersebut adalah sebagai bantuan Kerajaan Negeri bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar untuk mendaftar masuk ke universiti.

“Kerajaan Negeri memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang mampu menyokong proses pembangunan sosioekonomi negeri ini.

“Pulau Pinang tidak mempunyai banyak sumber asli dan amat bergantung kepada tenaga mahir iaitu anak-anak muda di negeri ini yang akan membina ekonomi negeri selain menyokong industri sektor pembuatan serta perkhidmatan awam agar berjalan dengan lancar pada masa akan datang,” ujarnya semasa menyampaikan cek bantuan berkenaan di Dewan Serbaguna Sungai Jawi di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri menyampaikan cek bantuan kepada pelajar yang layak.

Berucap sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan dana berjumlah RM3 juta untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan di sekolah-sekolah kebangsaan yang terpilih pada tahun depan.

“Langkah tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan kerajaan Persekutuan di samping membantu meningkatkan tahap keselamatan dan menyediakan ruang pembelajaran yang lebih kondusif di sekolah kepada para pelajar,” jelasnya yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Dr. Amar Pritpal Abdullah (ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Goh Choon Aik (ADUN Bukit Tambun); Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh); Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya; wakil-wakil jabatan kerajaan; barisan ibu bapa serta para pelajar.

Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan berjumlah RM1,000, manakala Sabah dan Sarawak (RM1,200) serta RM300 (peringkat politeknik).

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang masih menikmati pembangunan sosioekonomi yang baik walaupun negara sedang berdepan pelbagai cabaran antarabagsa dan kebangsaan yang perlu ditangani pada masa ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan Pulau Pinang menikmati pertumbuhan ekonomi yang baik walaupun terpaksa bergantung kepada sumber (ekonomi) sendiri.

“Walaupun pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, tetapi kita (Kerajaan Negeri) akan salurkan bantuan setakat yang termampu dan jika diizinkan, kita akan terus memberikan bantuan kebajikan ini,” kata beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD