Pulau Pinang bakal cipta rekod MBOR sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia – Exco

whatsapp image 2024 10 30 at 10.55.02

GEORGE TOWN – Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang akan diadakan pada 9 November 2024 ini merupakan suatu manifestasi tanggungjawab bersama dalam melahirkan masa depan yang penuh harapan untuk kanak-kanak di negeri ini.

 

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, selaras Visi Penang2030 yang menggariskan keterangkuman dan kemampanan masa hadapan, pihaknya mahu melihat kanak-kanak dilengkapi dengan kemahiran, daya tahan, empati dan keyakinan.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu mereka merasai persekitaran yang menghargai impian, keperibadian dan kesejahteraan mereka.

 

Oleh hal yang demikian, adalah penting untuk kita semua bekerjasama untuk membina komuniti yang mengamati intipati Visi Penang2030.

 

“Bersama-sama kita wujudkan persekitaran untuk anak-anak kita berkembang dan mencapai potensi optimum mereka dengan memfokuskan ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 30 Oktober 2024.

 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Zakaria Taib; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; Pegawai Pendidikan Daerah bagi Daerah Timur Laut, Mohamad Zawawi Ahmad dan barisan penaja.

 

Difahamkan sambutan tahun ini akan menjanjikan kelainan kerana diadakan di perkarangan kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri (TYT), Seri Mutiara.

 

Mengulas lanjut, Siew Khim memaklumkan seramai 2,000 kanak-kanak berusia 3 hingga 17 tahun dari seluruh Pulau Pinang dijemput untuk menyertai acara sambutan tersebut.

 

“Pelbagai aktiviti telah diatur, dari aktiviti berteraskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bengkel kesenian hingga ke inisiatif hijau semuanya akan memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 

“Paling menarik Escape Penang akan sediakan taman kembara mini untuk kanak-kanak meneroka keseronokan aktiviti mencabar di samping acara cabutan bertuah dengan hadiah yang menarik.

 

“Tidak hanya itu, pada hari tersebut juga, kita akan cuba menetapkan rekod di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk ‘The Largest Children’s Participation in an AED Learning Session’ yang membabitkan penyertaan 1,500 kanak-kanak, 70 doktor dan disokong oleh Zoll Medical Corporation, selaku penaja emas bagi sambutan berkaitan,” katanya.

 

Dalam sidang media sama, Siew Khim turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor yang berbesar hati mengalu-alukan dan mencetuskan idea penganjuran sambutan di Seri Mutiara.

 

Sementara itu, Zakaria memberitahu, selain penyertaan daripada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, Sambutan Hari Kanak-kanak 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang turut akan melibatkan 300 kanak-kanak dari Pusat Perlindungan Kanak-kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak serta anak-anak kelainan upaya yang menerima bantuan di bawah JKM.

 

Manakala, Bee Leng berkata, tema ‘Inspiring Children Through Learning’ (Menginspirasi Kanak-Kanak Melalui Pembelajaran) sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 Peringkat Pulau Pinang adalah untuk mewujudkan kesedaran memelihara hak dan masa depan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat.

 

Setiap anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam memastikan perkembangan kanak-kanak dari segi fizikal, kognitif, sahsiah dan rohani sentiasa diutamakan.

 

“Mereka juga berhak untuk menikmati kehidupan dan persekitaran yang gembira dan selamat,” katanya.

whatsapp image 2024 10 30 at 10.55.22 whatsapp image 2024 10 30 at 10.55.08 (2)whatsapp image 2024 10 30 at 10.55.08 (1)   whatsapp image 2024 10 30 at 10.55.08

ANTARA barisan penaja yang turut menjayakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD