Pulau Pinang bakal guna sistem pengurusan sampah paling moden di Pulau Burung, respons Exco

Admin
JAGDEEP Singh Deo

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sejak 1 Ogos 2022 telah mengambil alih 100 peratus pengurusan sisa pepejal di Sel 1 Fasa 3 Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung daripada firma operator bukan kerajaan, dengan jangka hayat penggunaan kawasan petak tersebut sehingga awal tahun 2024.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan menerapkan sistem pengurusan sisa pepejal paling moden dari negara-negara maju terpilih bagi pengoperasian di Sel 2 tapak pelupusan sampah tersebut, kelak.

“Untuk Sel 2 (Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung), kita (Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang) memerlukan masa dalam 12 bulan dengan kos hampir RM46.5 juta.

“Pihak (Bahagian Kerajaan Tempatan) akan selaraskan RFP (Cadangan Pembangunan) untuk Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung tersebut.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu teknologi baharu dipakai dalam pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah tersebut,” jelasnya kepada Yang Di-Pertua Dewan UndanganNegeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang semasa Sesi Soal Jawab Lisan di sini pada 7 Mac 2023.

Di samping itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat memberitahu bahawa RFP bagi Sel 2 tapak pelupusan sampah tersebut akan mula dibuka pada bulan Jun tahun ini dan akan mengambil masa kira-kira 12 bulan sebelum dimuktamadkan pada peringkat Kerajaan Negeri.

JASON H’ng Mooi Lye

Dalam sesi soal jawab tambahan, ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye meminta Jagdeep memberi penjelasan lanjut berhubung pelan kontingensi peringkat Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan operasi pengurusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Buruh tidak menjejaskan penduduk setempat seperti yang pernah terjadi sebelum ini.

“Sekiranya teknologi baharu digunakan di Tapak Pelupusan (Sampah) Pulau Burung, adakah ’tipping fee’ yang dikutip oleh PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dapat menampung segala (kos pengurusan) di tapak pelupusan tersebut nanti,” tanya Mooi Lye.

Menjawab soalan itu, Jagdeep memberitahu bahawa Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang akan meneliti pelaksanaan RFP bagi sistem pengurusan sisa pepejal paling moden tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan sedia ada.

“Di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan) akan meneliti (RFP) berdasarkan peruntukan undang-undang.

“RFP ini sangat penting; kita akan meneliti proses memuktamadkan RFP berdasarkan peruntukan undang-undang,” respons beliau lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & AHMAD ADIL MUHAMAD