Pulau Pinang bentang ‘kad laporan pencapaian’ – Ketua Menteri

Admin
CHOW Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan membentangkan ‘kad laporan pencapaian Kerajaan Negeri’ dijangka pada 9 Mei ini bersempena tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diadakan pada 9 Mei 2018.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pembentangan itu adalah berdasarkan 68 Akujanji yang Pakatan Harapan Pulau Pinang tawarkan dalam manifesto bersama, kira-kira empat tahun lalu.

“Bersempena ulang tahun ke-4 PRU14 yang bakal kunjung tiba pada Mei ini, kita (Kerajaan Negeri) akan mengumumkan tahap pencapaian berdasarkan manifesto (Pakatan Harapan Pulau Pinang).

“Perkara yang telahpun dicapai akan dibentangkan; perkara yang dalam proses pelaksanaan akan dibentangkan; jadi sekalian rakyat boleh menilai kita (Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan) berdasarkan 68 Akujanji kita.

“Saya fikir walaupun kita tidak mungkin mencapai 100 peratus (berdasarkan manifesto Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang), paling penting adalah kita terus bekerja untuk menjayakannya,” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang pada sidang media di sini sebentar tadi.

KETUA Menteri (tengah) diiringi P. Ramasamy memegang cek replika Peruntukan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri 2022 bersama-sama para wakil sekolah Tamil, tadika di sekolah Tamil dan Sekolah Punjabi di sini tadi.

Kon Yeow berkata demikian dalam majlis penyampaian RM2.39 juta peruntukan kepada sekolah Tamil, tadika di sekolah Tamil dan sekolah Punjabi.

“Saya berharap segala usaha yang telahpun dilaksanakan setakat ini akan mendapat sokongan rakyat, dan paling penting adalah barisan kepimpinan kini akan terus bekerja untuk memberikan perkhidmatan yang lebih banyak dan baik lagi,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi turut menyertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD